SEPANG – Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melalui anak syarikatnya, Central Auto Distributors Bhd (CADB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) untuk kolaborasi menjadikan Malaysia pusat serantau untuk pengeluaran dan pemasangan kenderaan elektrik (EV), Dongfeng Box.

Disaksikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Faisal Mohd Yusof, majlis MoU itu berlangsung di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

MoU itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua syarikat dalam aktiviti pemasangan kenderaan, dengan NMSB menyediakan fasiliti dan CADB bertanggungjawab terhadap pemasaran serta pengedaran kenderaan elektrik.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, CADB sedang meneroka program CKD untuk pengeluaran kenderaan elektrik dari China iaitu Dongfeng Motor (DFM).

Katanya, usaha itu sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menyokong visi kerajaan dan selaras dengan misi PEKEMA untuk meningkatkan penyertaan ahli-ahli dalam perniagaan dan ekosistem kenderaan elektrik.

“Melalui CADB, PEKEMA berhasrat untuk membangunkan program pembangunan bakat tempatan dan vendor untuk kenderaan elektrik.

“Kami juga berharap untuk mencapai pemindahan teknologi yang berjaya dengan Dongfeng Motor yang membuat pelaburan besar dalam teknologi automotif di China,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuklah peluang untuk ahli PEKEMA terbabit dalam perniagaan pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan untuk model Dongfeng Box di bawah Syarikat Dongfeng Motor.

“Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri tempatan tetapi juga bakal membuka peluang kepada ahli-ahli kami untuk mengambil bahagian dalam pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan,” katanya lagi.

Perjanjian MoU antara Central Auto Distributors Bhd (CADB) dan NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) dijangka akan membuka lembaran baharu dalam industri automotif Malaysia, khususnya dalam era peralihan kepada kenderaan elektrik yang mesra alam.

Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua pihak akan meneruskan perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian definitif yang akan memperincikan aktiviti-aktiviti kerjasama yang bakal dijalankan.

By Cynthia

Leave a Reply