SHAH ALAM – Unipac Engineering Sdn Bhd memberi penghargaan kepada tiga pusat pemeriksaan kenderaan baru yang dilantik, iaitu Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum, dan Beriman Gold Sdn Bhd, atas penerimaan surat pelantikan rasmi dari Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke.

Pelantikan ini selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan pemeriksaan kenderaan yang lebih mudah diakses, termasuk di kawasan luar bandar.

Sejak penubuhannya pada tahun 1974, Unipac Engineering telah menjadi peneraju dalam penyelesaian pemeriksaan kenderaan di Malaysia selama lebih 50 tahun.

Sebagai pengedar eksklusif bagi Beissbarth Automotive Testing Solutions GmbH untuk sistem ujian kenderaan mereka, Unipac Engineering memiliki kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk menyokong pengembangan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di seluruh negara.

Beissbarth GmbH adalah ahli teknikal CITA, persatuan global bagi pihak berkuasa dan syarikat yang diberi kuasa dalam pematuhan kenderaan untuk Pemeriksaan Kenderaan Berkala.

Unipac Engineering telah lama memantau perkembangan standard ujian kenderaan di Malaysia dan, melalui kajian terhadap piawaian global, dilengkapi dengan kepakaran teknikal untuk memberi nasihat dan panduan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) serta pihak berkepentingan lain.

Ini bertujuan memastikan rangka kerja pemeriksaan kenderaan Malaysia selari dengan amalan terbaik antarabangsa.

Pengurus Besar Unipac Engineering (M) Sdn Bhd, Daryl Yap berkata, Anthony Loke baru-baru ini menekankan dalam kenyataannya yang diterbitkan dalam akhbar Star pada 13 Februari 2025, bahawa semua firma perlu memastikan akses pemeriksaan kenderaan yang saksama di kawasan luar bandar.

“Kami amat menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan ini dan memuji usaha mereka dalam meningkatkan keselamatan jalan raya serta pematuhan kenderaan melalui penubuhan pusat pemeriksaan baharu,” katanya pada sesi taklimat media, hari ini.

Hadir sama pada taklimat berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unipac Engineering (M) Sdn Bhd; David Yap dan Ketua Pembangunan Perniagaan Unipac Engineering (M) Sdn Bhd; Haziq Roslan.

Daryl berkata, ketiga-tiga syarikat yang dilantik diberi tempoh 24 bulan untuk menyiapkan infrastruktur yang diperlukan.

“Unipac Engineering bersedia menawarkan kepakaran teknikal serta sistem ujian kenderaan canggih untuk membantu proses pembangunan pusat-pusat pemeriksaan ini.

“Dengan pengetahuan industri yang luas dan kerjasama dengan penyedia penyelesaian ujian bertaraf dunia, Unipac Engineering terus menjadi rakan strategik yang berharga dalam memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum, dan Beriman Gold Sdn Bhd, serta entiti lain yang bakal dilantik, untuk menjayakan inisiatif penting ini.

“Unipac Engineering komited dalam menyokong visi kerajaan Malaysia untuk membangunkan sistem pemeriksaan kenderaan yang cekap, mudah diakses, dan berkecuali,” katanya.

Unipac Engineering terus berada di barisan hadapan dalam usaha memastikan keselamatan dan kualiti pemeriksaan kenderaan di Malaysia terus berkembang mengikut piawaian global.

By Cynthia

Leave a Reply