KAJANG – Secara rasminya semalam GV Ride atau Green Vision yang merupakan sebuah syarikat e-hailing tempatan mengumumkan pelancaran perkhidmatan mereka yang mesra bajet dan inovatif di Malaysia.
GV Ride yang bakal dilancarkan pada hujung tahun ini akan memulakan operasi perkhidmatan mereka di kawasan Lembah Klang.
“Fokus kami pada kawasan Lembah Klang, tanpa tergesa-gesa untuk meliputi seluruh Malaysia.
“Kami menawarkan pelbagai pelan untuk memenuhi keperluan semua orang,” kata Pengarah Urusan GV Ride, Ir Vincent Chew Hian Sern.
Dalam pada itu menurut Vincent, GV Ride menyediakan sistem bidaan yang fleksibel dengan kadar tambang pemandu minimum bermula dari RM1.25/km.
Beliau berkata syarikat itu sedang menawarkan bonus pra-pelancaran untuk ‘pick-up’ lebih dari 5 km sebagai insentif untuk pemandu.
GV Ride yang ditubuhkan pada 2023, merupakan salah satu daripada 30 syarikat yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Vincent berkata GV Ride komited untuk menyediakan Lesen Kenderaan E-hailing (EVP) kepada pemandu mereka sebelum pengaktifan akaun dalam talian.
“Syarikat ini juga menekankan keutamaan untuk sentiasa mendengar maklum balas daripada pengguna dan pemandu bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.
Tambahnya, antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh GV Ride termasuklah sistem rundingan harga yang membolehkan penumpang menetapkan tambang pilihan mereka.
Beliau berkata perjalanan akan disahkan jika pemandu bersetuju dengan harga tersebut.
“Penumpang juga boleh memilih pemandu mereka, menjejaki lokasi kenderaan, mendapatkan anggaran masa ketibaan, serta memilih kaedah pembayaran yang pelbagai.
“Selain itu, pengguna juga diberi pilihan untuk memilih jenis kereta yang mereka inginkan,” katanya.
Dalam usaha untuk mempromosikan penggunaan tenaga yang lebih bersih, GV Ride merancang untuk memperkenalkan kereta elektrik pada akhir tahun 2024.
Syarikat ini juga akan menawarkan skim penjimatan di mana pemandu boleh menyewa kereta elektrik untuk kegunaan e-hailing, sebagai sebahagian daripada komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar.
Syarikat ini turut menawarkan kadar komisen yang jauh lebih rendah berbanding pesaing e-hailing lain di Malaysia.
Dalam masa terdekat, GV Ride merancang untuk melancarkan kempen pengiklanan pemandu dan menyediakan kod promo serta baucar kepada pengguna.
Pemandu yang berminat boleh mendaftar melalui aplikasi, dengan perkhidmatan pelanggan yang sedia membantu 24/7 melalui Autobot dan ejen perkhidmatan pelanggan.
GV Ride optimis bahawa pendekatan mesra alam dan inovatif mereka akan memberikan pengalaman e-hailing yang lebih baik kepada pengguna di Malaysia.