Oleh : Nora Mahpar
Ahli perniagaan Lim mendakwa penyewa rumahnya melarikan diri selepas gagal membayar tunggakan sewa RM4,800.
PETALING JAYA: Empat tahun lalu, Lim menyerahkan kunci rumah kepada penyewa baharu rumahnya di Taman Pelangi, Semenyih dalam keadaan baik dan selesa diduduki.
Namun kini ia menjadi mimpi ngeri buat ahli perniagaan berusia 45 tahun itu apabila bukan sahaja penyewa gagal membayar tunggakan sewa rumah berjumlah RM4,800 tetapi rumahnya turut mengalami kerosakan teruk.
Lim berkata penyewa terbabit yang berdasarkan alamat pada MyKad berasal dari Taman Medan di sini itu telah menghilangkan diri dan kali terakhir menghantar mesej menerusi WhatsApp pada 15 Jun lalu memberitahunya supaya memecahkan mangga pintu untuk masuk ke rumah berkenaan.
Beliau kemudiannya membuat laporan polis Khamis lalu dan dua hari kemudiannya ke rumah dua tingkat dilengkapi empat bilik tidur itu dengan membawa kontraktor bagi memasuki premis terbabit.
“Keadaan teruk sangat, semua pintu bilik tiada dan dinding pula dipenuhi pelekat menyebabkannya mengelupas bila dibuka, siling bilik tingkat atas pecah dan cermin sliding door (pintu gelangsar) pecah.
“Cat rumah dari putih tukar jadi hijau selain ada banyak bekas peralatan digunakan untuk upacara keagamaan, kontaktor beritahu kalau mahu baiki mungkin menelan belanja RM40,000,” katanya dalam nada kecewa kepada FMT.
“Saya mahu cari penyewa itu kerana dalam perjanjian dipersetujui segala kerosakan perlu ditanggung mereka…jadi kena bayar kos terbabit.”
Lim memberitahu keluarga itu adalah penyewa kedua untuk rumahnya yang pada mula membayar sewa RM1,400 sebulan mengikut waktu ditetapkan namun lama-kelamaan menjadi semakin lewat.
“Namun saya bertolak ansur kerana faham dengan situasi mereka yang mungkin sedikit tersepit, tetapi mula tak bayar sewa April dan Mei.
“Harap penyewa itu tampil untuk menyelesaikan masalah ini, laporan polis telah dibuat dan saya juga serahkan ini kepada proses undang-undang,” katanya.
Sementara itu, perunding hartanah dari Francis Group Business (FGB) Fatin Nurshahfika berkata pihaknya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut kerana bimbang insiden sama berulang kepada pemilik premis lain.
“Kita percaya ramai pemilik premis berdepan situasi dengan perangai penyewa sebegini, jadi tindakan mesti dibuat agar ia menjadi pengajaran kepada orang lain.
“Kita juga akan membantu pemilik premis mendapatkan ganti rugi daripada penyewa tersebut,” katanya. – FMT
Tags: pemilik, penyewa, rugi, Beranang, rumah sewa, penyewa lari