KUALA LUMPUR – Wanita UMNO yakin partinya akan kembali merampas kerusi di DUN Nenggiri berdasarkan ‘track record’ yang ada.

Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari berkata selepas Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi itu, dilihat tiada pembangunan dibawa di Nenggiri.

Jelasnya, apabila penyandang kerusi tersebut, Mohd. Azizi Abu Naim menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan peruntukan malah diminta mengosongkan kerusi.

“Tiada ‘track record’ dibawa PAS dan Bersatu di Nenggiri.

“Mungkin pilihan raya lalu, pengundi di Nenggiri mahu cuba nasib,” katanya kepada AATV News.

Mengulas lanjut, Rosni turut yakin pengundi yang tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu akan kembali undi BN.

Beliau berkata majoriti pengundi Melayu di Nenggiri akan memilih calon UMNO berbanding Bersatu.

“Persiapan Wanita UMNO akan meletakkan jentera bagi membantu calon BN di sana.

“Saya mohon kepada pengundi di Nenggiri membuat pilihan tepat,” katanya.

Sementara itu, Rosni berkata calon BN di Nenggiri iaitu Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani juga adalah yang terbaik.

Beliau merupakan tokoh muda dan pengundi di Nenggiri sudah mengenalinya.

“Kita ketahui ketokohannya dan calon terbaik untuk rakyat di Nenggiri.

“Calon ini sudah mesti calon yang berada dalam Kerajaan Madani iaitu berada dalam Kerajaan Perpaduan. Soal peruntukan pasti dapat diatasi dan dipenuhi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Jun lalu menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd. Azizi diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

PRN pada Ogos tahun lalu menyaksikan Mohd. Azizi yang bertanding atas tiket PAS menang dengan majoriti 810 undi.

Beliau yang memperoleh 6,517 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Ab. Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

Bagaimanapun, Mohd Azizi pada 7 November 2023 mengisytiharkan sokongan penuh kepada Anwar.

Leave a Reply