KUALA LUMPUR – Buat pertama kali, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui KPM Prospec menjalin kerjasama dengan jenama tudung tempatan, Fazura sempena bulan kemerdekaan tidak lama lagi.
Tampil dengan koleksi istimewa Tudung Fazura Purple Label, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dengan penuh rasa bangga memperkenalkan koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkenal itu diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat dan jemputan khas.
Usaha ini bertujuan untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-67 dengan memaparkan 12 rekaan tudung yang unik dan berwarna-warni.
Koleksi Merdeka 2024 berinspirasikan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.
Setiap rekaan tudung ini menggambarkan semangat kemerdekaan melalui warna-warna bertenaga Jalur Gemilang, lakaran landskap ikonik tempatan, serta kemeriahan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.
Fadhlina Sidek dalam ucapannya berkata, pemilihan kerjasama kolaborasi untuk Merdeka adalah momen yang signifikan dan sesuai untuk menyampaikan mesej jiwa merdeka dan semangat cintakan negara.
“Fazura cukup signifikan mewakili pelbagai segmen dalam masyarakat seperti ibu, isteri, kakak, adik, usahawan dan sebahagian wajah Malaysia.
“Pemilihan ini adalah signifikan menonjolkan sisi penting anak tempatan yang juga melonjakkan perniagaan tempatan selain mesej kemerdekaan pada wajah anak tempatan sepertinya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura.
Fadhlina berkata, Prospec KPM berperanan sebagai kelab sokongan yang akan menyebarkan mesej kemerdekaan.
“Kelab ini menyebarkan mesej bahawa pesonafikasi jiwa Merdeka kepada anak Malaysia dalam konteks membangunkan negara dan penghayatan kemerdekaan,” katanya.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM; Dato’ Sri Noorhuda Alias, Penasihat Kelab PROSPEC KPM; Dato’ Ahmad Firdaus Baharuddin dan Setiausaha Bahagian KPM.
Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara kelab penjawat awam dengan jenama FAZURA khusus untuk sambutan Hari Kebangsaan.
Besar harapan agar lebih banyak kerjasama seperti ini akan diteroka demi kebaikan bersama, terutama dalam memperkukuhkan kerjasama awam-swasta yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Tudung ini dijual pada harga RM27 setiap satu dan menggunakan material Japanese cotton voile bidang 46.
Organisasi awam dan swasta yang berminat untuk mendapatkan koleksi ini dengan harga korporat hubungi wakil PROSPEC KPM melalui WhatsApp di 017-4469726 untuk maklumat lanjut.
Pembelian secara dalam talian pula boleh dibuat di laman web rasmi www.fazura.com, aplikasi FAZURA, dan ShopeeMall FAZURA Official Store.