PETALING JAYA – Meraikan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, Saudagaar Asia turut mengambil peluang menghasilkan filem pendek bagi berkongsi semangat perpaduan dengan rakyat Malaysia.

Filem pendek berjudul “Kita Kan Sama: Inspirasi Dari Kisah Sebenar” itu adalah kisah yang dilalui sendiri oleh Pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi.

Said berkata, idea itu terhasil selepas melihat isu perkauman sering menjadi sentimen dalam sesuatu perkara sekarang ini.

“Saya bimbang melihat situasi itu, ketika kecil saya hidup dalam suasana yang banyak orang Melayu dan tiada perbezaan kaum antara kami.

“Semakin menginjak dewasa sudah ada mula perbezaan itu dan saya sendiri yang pernah mengalaminya berharap ia tidak berterusan berlaku.

“Kerana itulah tercetusnya idea menghasilkan video pendek ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kita hidup di Malaysia berbilang kaum dan tidak ada apa yang membezakan kerana kita semua adalah sama,” katanya pada majlis pelancaran video berkenaan, semalam.

Kita Kan Sama menyoroti pengalaman peribadi Said yang dibesarkan dalam suasana kampung yang harmoni.  

Sama seperti majoriti kanak-kanak lain di kampungnya, Joe (nama layar) membesar dengan gaya hidup sebagai anak Melayu dan mengamalkan cara hidup sebagai masyarakat Melayu.   

Namun, ketika Joe mengetahui asal-usulnya yang sebenar, beliau  berhadapan dengan cabaran untuk menerima identiti barunya.  

Realiti bahawa Joe berketurunan India telah memberi satu kejutan pada dirinya dan perkara itu turut mempengaruhi hubungannya dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum.

“Kita Kan Sama” membawa mesej yang kuat tentang pentingnya perpaduan dan kesamaan, serta bagaimana perbezaan budaya dan kaum sepatutnya menjadi kekuatan, bukannya halangan.

Sementara itu, pengarah filem ini, Shafieq Hashim turut menekankan bahawa filem ini adalah usaha untuk memperlihatkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia yang penuh warna-warni.  

Melalui ‘Kita Kan Sama’,  filem pendek ini diharap dapat menyampaikan bahawa persahabatan dan kasih sayang adalah unsur yang paling penting dalam membina semangat perpaduan dan membentuk negara yang bersatu padu.   

Filem pendek ini juga bertujuan untuk mengajak semua rakyat Malaysia merenung kembali nilai-nilai yang telah menyatukan kita semua selama ini.

Selaku penerbit utama, Choco Albab percaya bahawa filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu usaha untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia.  

Memeriahkan lagi sambutan Hari Merdeka, Choco Albab turut merasmikan choco tub Duriyan dan ini akan menjadi pilihan bermusim sepanjang bulan Ogos setiap tahun.

Bagi yang ingin menyaksikan video pendek ini boleh layari laman YouTube rasmi Choco Albab.

By Cynthia

Leave a Reply