Oleh: Hasli Alias
Kuala Lumpur, 4 September 2024 – Ketua UMNO Bahagian Putatan yang juga Pengarah Jentera Pilihanraya UMNO Sabah, Tuan Jeffery Nor Mohamed, baru-baru ini membincangkan perkembangan politik di Sabah, khususnya kebangkitan UMNO selepas tahun-tahun mencabar sejak kejatuhan Barisan Nasional pada 2018.
Menurut Jeffery, tahun 2019 merupakan detik paling sukar dalam sejarah UMNO Sabah apabila ramai pemimpin mereka ‘berhijrah’ keluar susulan kejatuhan kerajaan BN. Namun, dalam masa beberapa tahun sahaja, UMNO Sabah telah berjaya bangkit dengan membawa masuk 95% muka baharu, kebanyakannya terdiri daripada golongan muda. Transformasi ini bukan sahaja menyingkirkan pengaruh ‘warlord’, tetapi juga menarik kembali sokongan rakyat Sabah, yang kini mulai meletakkan kepercayaan kepada UMNO untuk membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.
Jeffery juga menyatakan bahawa UMNO Sabah kini berusaha mendekati rakyat dengan pendekatan politik berkebajikan, walaupun berperanan sebagai pembangkang di negeri tersebut. Langkah ini dilihat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang semakin hampir.
Ketika ditanya mengenai strategi gabungan UMNO untuk PRN yang akan datang, Jeffery menjelaskan bahawa tiada keputusan rasmi yang dibuat sama ada UMNO akan bergerak secara solo atau bersama dengan parti lain. Namun, beliau mengakui bahawa perbincangan mengenai calon gabungan telah pun dijalankan.
Mengenai peluang dirinya untuk bertanding sebagai calon dalam PRN kali ini, Jeffery menyerahkan keputusan tersebut kepada kebijaksanaan kepimpinan UMNO Negeri dan UMNO Pusat.
Sebagai tokoh penting dalam politik Sabah, pandangan dan keputusan Jeffery Nor Mohamed pastinya akan menjadi perhatian ramai, khususnya dalam menentukan arah tuju UMNO Sabah dalam menghadapi cabaran politik masa hadapan.