PUTRAJAYA, 4 September 2024 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menzahirkan penghargaan tinggi terhadap Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, atas sumbangan besar beliau dalam memperkasa Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi di seluruh negara.
Menurut Ewon, di bawah kepimpinan Dato’ Sri Suriani, prestasi PMKS dan koperasi telah melonjak dengan ketara, malah pelaksanaan program serta projek pembangunan sentiasa melebihi purata nasional. “Beliau bukan sahaja memacu kejayaan di peringkat nasional tetapi juga memudahcarakan pelaksanaan pelbagai inisiatif tambahan di Sabah dan Sarawak, termasuk projek Tamu Desa, pembukaan cawangan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), pengwujudan BEEP Plus untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta sesi libat urus khas belanjawan Borneo,” kata Ewon dalam satu kenyataan media.
Ewon turut menyatakan bahawa beliau bertuah dapat bekerjasama dengan Dato’ Sri Suriani dan yakin bahawa beliau akan terus cemerlang dalam peranan baharunya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, yang akan dimulakan mulai esok. “Semoga kebersamaan ini terus kekal dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” tambahnya.
Dato’ Sri Suriani akan digantikan oleh Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Mewakili seluruh warga KUSKOP dan agensi serta dari saya sendiri, saya ucapkan terima kasih buat Dato’ Sri Suriani atas sumbangan besar sepanjang menjadi KSU KUSKOP,” ujar Ewon lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, hari ini mengumumkan beberapa perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi 12 jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam, yang melibatkan sembilan Ketua Setiausaha (KSU), seorang Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, dan dua Ketua Pengarah.
Langkah ini diambil sejajar dengan matlamat kerajaan untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan responsif. Pertukaran tersebut akan berkuat kuasa esok, manakala sebahagian lagi pada 23 September susulan pengumuman pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 16 Ogos lalu.