KUALA LUMPUR, 11 Ogos Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) terus memperkasa Bakat Sumber Manusia Negara menerusi Inisiatif mynext yang dilancarkan hari ini oleh YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia, bersama YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Inisiatif ini merupakan sebuah usaha berterusan TalentCorp dan KSM dalam memacu kerjasama strategik merentasi pemegang taruh terutamanya dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan yang memanfaatkan bakat sumber manusia di bawah aspirasi Keluarga Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan semasa majlis pelancaran yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur sebentar tadi berkata, usaha proaktif ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk terus melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkualiti serta berkemahiran tinggi selaras dengan perubahan lanskap ekonomi dan pasaran pekerjaan.
“Usaha ini juga bakal memperkasa ketersediaan dan kebolehpasaran bakat sumber manusia bagi mendepani cabaran pasaran pekerjaan yang lebih kompetitif dalam era pasca pandemik COVID-19.”
Pembangunan portal mynext merangkumi tiga komponen yang memanfaatkan para graduan, pekerja, syarikat dan institusi pendidikan iaitu:
1. mynext Talent-bakat yang berdaftar berpeluang untuk menilai kekuatan dan memperbaiki jurang kemahiran mereka melalui lima (5) modul penilaian profil
kerjaya seperti ‘work values’, ‘personality & motivation’, ’employability’, dan ‘future of work’ serta satu modul penilaian kompetensi Bahasa Inggeris;
2. mynext University Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Institusi Latihan Kemahiran kini mempunyai akses kepada analitis bakat bagi institusi masing-masing melalui fungsi “analytical dashboard. Fungsi strategik ini amat penting dalam membangunkan program intervensi kebolehpasaran yang berasaskan bukti dan berfokus kepada keperluan individu. Di samping itu, dashboard ini juga akan membantu institusi dalam memudahcara dan memantau pelaksanaan latihan industri dalam kalangan para pelajarnya; dan
3. mynext Company – Pihak industri amat digalakkan untuk bekerjasama dan terlibat secara aktif dalam menawarkan latihan industri berstruktur kepada bakat muda negara melalui portal mynext; serta beroleh manfaat potongan cukai berganda di bawah pelaksanaan Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP).
Dalam konteks makro, analisis data mynext membantu kementerian dan agensi untuk memeta permintaan dan penawaran bakat secara strategik serta membangunkan dasar sumber manusia yang bersifat dipacu oleh permintaan (demand-driven), sedia untuk masa hadapan (future-ready) dan mengikut acuan yang bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia.
Sehingga Julai 2022, terdapat lebih daripada 170,000 profil bakat merentasi institut pengajian tinggi yang telah mendaftarkan diri dengan platform ini dan usaha ini adalah selaras dengan fokus strategik Rancangan Malaysia Ke-12 untuk memantapkan perancangan guna tenaga negara mengikut keperluan industri bagi mengekalkan guna tenaga penuh.
Melalui kolaborasi ini, KSM juga berhasrat supaya ianya dapat membantu Kementerian Pengajian Tinggi untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.
Inisiatif mynext turut disenaraikan di bawah Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan KPT 2021 2025 untuk memperkasakan fungsi dan peranan pusat kerjaya sebagai pusat sehenti pembangunan dan perkembangan kerjaya pelajar.
Sehubungan itu, Kementerian amat mengalu-alukan penyertaan aktif para graduan, pekerja, syarikat serta Institusi Pengajian Tinggi dan Institusi Latihan Kemahiran di bawah seliaan KPT bagi menjayakan inisiatif ini. Untuk maklumat lanjut mengenai mynext, sila layari www.mynext.my.