KUALA LUMPUR, 4 September 2024 – Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima kepada Syarikat PBH Asset Management Sdn. Bhd. bagi penyenggaraan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak untuk tempoh tiga tahun akan datang. Kontrak tersebut bernilai RM69,248,876.40.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai Wakil Kerajaan bagi pengurusan kerja-kerja penyenggaraan lebuh raya ini. JKR Sarawak akan bertindak sebagai pengawas bagi memastikan semua operasi, penyenggaraan, dan pelaksanaan kerja memenuhi standard dan syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.
Lebuh raya Pan Borneo, yang merupakan projek infrastruktur terbesar di Sarawak, mula dibina pada tahun 2015. Dengan panjang keseluruhan 829.40km, projek ini terdiri daripada 11 pakej, di mana pakej pertama, WPC01 dari Telok Melano ke Semantan, telah siap pada tahun 2019. Beberapa pakej yang telah tamat tempoh Defect Liability Period akan diserahkan kepada PBH Asset Management Sdn. Bhd. secara berperingkat untuk menjalankan kerja-kerja penyenggaraan.
Kerja-kerja penyenggaraan yang akan dilakukan oleh PBH Asset Management Sdn. Bhd. meliputi pelbagai aspek termasuk Kerja Rutin sepanjang tahun, Kerja Berkala Pavemen, Kerja Berkala Bukan Pavemen, dan Kerja Kecemasan yang akan dilaksanakan berdasarkan kelulusan dari masa ke semasa.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa penyenggaraan jalan raya dan fasiliti awam adalah sama penting dengan pembinaan infrastruktur. Menurut beliau, penyenggaraan yang baik bukan sahaja memanjangkan jangka hayat jalan raya, tetapi juga memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Lebuh raya Pan Borneo adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam usaha membangunkan rangkaian jalan raya yang lebih terancang, sistematik, dan efisien. Ini juga sejajar dengan hasrat Program MYJalan KKR yang bertekad untuk menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa untuk semua rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Pelantikan PBH Asset Management Sdn. Bhd. serta pengawasan yang rapi oleh JKR Sarawak diharapkan dapat memastikan lebuh raya ini disenggara dengan baik, berkualiti, dan menepati spesifikasi, masa, serta kos yang ditetapkan. Lebuh raya ini juga diharapkan dapat memenuhi ekspektasi bukan sahaja kerajaan, tetapi juga rakyat Sarawak yang bergantung kepada rangkaian jalan raya ini untuk kehidupan harian mereka.
Dengan pelaksanaan kontrak ini, Lebuhraya Pan Borneo dijangka dapat terus berfungsi dengan baik, memberikan manfaat yang besar kepada rakyat dan memacu pembangunan ekonomi di Sarawak.