Brickfields, 4 September 2024 – Ketidakpuasan hati di kalangan pemandu e-hailing semakin memuncak apabila sekumpulan pemandu bertekad untuk mengadakan satu himpunan besar-besaran di hadapan ibu pejabat sebuah syarikat e-hailing terkemuka.
Mereka membantah kadar tambang yang semakin rendah serta kadar komisyen yang dikenakan syarikat e-hailing tersebut, yang dikatakan melebihi had 20% yang ditetapkan kerajaan.
Dalam pertemuan yang diadakan petang tadi, para pemandu e-hailing ini telah berbincang dengan Dato Dr. Kalaivanar, Ketua Aktivis Nambikkai Kebangsaan, sebuah NGO yang terkenal memperjuangkan hak rakyat. Dr. Kalaivanar menyatakan kesediaannya untuk membantu pemandu e-hailing dalam usaha menuntut kadar tambang yang lebih adil dan saksama.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, adalah tidak adil bagi syarikat e-hailing untuk terus menurunkan kadar tambang tanpa memikirkan kesan kepada pemandu yang bergantung kepada pendapatan ini untuk kelangsungan hidup,” ujar Dr. Kalaivanar.
Nambikkai Kebangsaan, yang sudah lama dikenali sebagai pembela golongan yang tertindas, berhasrat untuk membantu para pemandu e-hailing ini menuntut hak mereka.
“Kami bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pihak demi memastikan keadilan bagi pemandu e-hailing ini,” tambah beliau.
Sementara itu, jurucakap kumpulan pemandu e-hailing, En. Yassin, menjelaskan bahawa langkah seterusnya adalah mengatur satu himpunan dan perjumpaan dengan pihak pengurusan syarikat e-hailing berkenaan.
Mereka berharap tindakan ini akan memaksa syarikat tersebut untuk mengkaji semula kaedah penetapan tambang yang dikatakan tidak masuk akal dan membebankan pemandu.
Pemandu e-hailing kini berharap dengan sokongan dari Nambikkai Kebangsaan, suara mereka akan didengar dan diambil tindakan oleh pihak berwajib.
Mereka juga menegaskan bahawa komitmen mereka untuk berjuang bagi mendapatkan kadar tambang yang lebih adil bukan sahaja demi diri mereka, tetapi juga demi kepentingan jangka panjang industri e-hailing itu sendiri.