Kuala Lumpur, 13 September 2024 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, dalam satu kenyataan pedas, mengkritik Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Afnan Hamimi, yang disifatkan sebagai “buta politik” dan tidak memahami perjuangan UMNO dalam mempertahankan kesucian agama Islam di negara ini.
Kritikan tersebut susulan kenyataan Afnan yang mencabar UMNO untuk meninggalkan kerajaan perpaduan kerana didakwa gagal mempertahankan Islam.
Gulam menegaskan bahawa Pemuda PAS seperti berada dalam “gua yang tertutup rapat”, tanpa menyedari usaha gigih UMNO dalam mempertahankan Islam.
Beliau menyenaraikan beberapa isu utama, termasuk kontroversi kalimah ALLAH di stokin, pemilihan ahli PBT, lantikan bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Undang-Undang Syariah, dan sijil halal yang ditentang oleh UMNO secara tegas.
“UMNO tetap tegak berdiri mempertahankan isu-isu berkaitan agama Islam dan kepentingan Melayu walaupun berada dalam kerajaan perpaduan. Ini termasuk menangkis cubaan mana-mana pihak yang ingin menggugat kedudukan empat perkara asas – Agama Islam, Agenda Melayu, Bahasa Melayu, dan Raja-Raja Melayu,” jelas Gulam.
Beliau turut menyindir PAS yang dianggap “takut kehilangan undi” daripada kaum bukan Islam, menyebabkan parti itu acuh tak acuh terhadap isu-isu penting. Menurutnya, Pemuda PAS sendiri lebih cemas dan bimbang dengan tindakan proaktif Pemuda UMNO yang dilihat lebih ke hadapan dalam memperjuangkan isu-isu Melayu dan Islam.
Gulam juga membidas kepimpinan Afnan yang disifatkannya sebagai “lembik” dan tidak berdaya dalam berhadapan dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) seperti Gerakan, yang lantang membantah isu-isu sensitif seperti derma sekolah Cina yang dikaitkan dengan syarikat arak.
Menurut Gulam, UMNO di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tidak sekadar beretorik, sebaliknya telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memartabatkan Islam.
Beliau memberikan contoh peruntukan sebanyak RM1.9 bilion tahun lepas untuk pembangunan hal ehwal Islam dan inisiatif seperti Taska Kemas Pra Tahfiz serta Industri Halal yang dipacu oleh UMNO dalam kerajaan perpaduan tanpa sebarang tentangan daripada rakan komponen.
“Agenda perjuangan Islam dan Melayu UMNO sentiasa konsisten dan selaras dengan objektif penubuhan parti ini. UMNO tidak seperti PAS yang hanya tahu ‘berkokok’ dan bertindak retorik,” tambahnya.
Mengakhiri kenyataannya, Gulam menegaskan bahawa kehadiran UMNO dalam kerajaan perpaduan adalah strategi politik bijak, dan menganggap cabaran PAS untuk menggantikan UMNO dalam kerajaan perpaduan sebagai provokasi yang tidak berasas.
“Kontrak UMNO dengan kerajaan perpaduan ini adalah hingga 2027, dan UMNO akan terus mempertahankan Islam dan Melayu dalam tempoh itu,” katanya.
Kenyataan ini hadir di tengah spekulasi bahawa PAS mungkin bersedia untuk menyertai kerajaan perpaduan sekiranya UMNO menarik diri, namun Gulam dengan tegas menolak sebarang kemungkinan UMNO akan meninggalkan kerajaan perpaduan dalam masa terdekat.