Kuala Lumpur, 12 September 2024 – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman, menekankan keperluan untuk menetapkan kriteria dan standard rasmi bagi gelaran “Ustaz” dan “Ulama”.
Beliau menyokong pandangan yang diutarakan oleh Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bahawa gelaran ini seharusnya diberikan secara terkawal dan tidak boleh disalahgunakan.
Menurut Abdul Razak, terdapat keperluan untuk memastikan hanya individu yang benar-benar berkelayakan dari sudut ilmu dan akhlak layak menyandang gelaran tersebut.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap sesetengah individu yang mengaku ulama tetapi lebih banyak terlibat dalam politik sempit, menyebarkan fitnah, serta mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Gelaran ini patut mempunyai standard dan kriteria yang jelas, sepertimana gelaran profesional lain yang mempunyai singkatan rasmi. Kita tidak mahu ada individu yang menggunakan agama sebagai platform untuk kepentingan peribadi atau politik tertentu,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Razak turut menyentuh tentang insiden melibatkan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) yang sebelum ini dikaitkan dengan ajaran sesat. Beliau menyarankan insiden tersebut dijadikan pengajaran agar tidak berlaku lagi individu atau kumpulan yang mempergunakan nama agama untuk tujuan menyeleweng.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mempunyai badan bertauliah yang bertanggungjawab memberikan gelaran ini dengan prosedur yang jelas dan ‘code of conduct’ yang lebih ketat. Individu yang diberi gelaran Ustaz atau Ulama juga perlu mematuhi tatakelola yang sesuai dengan martabat ini,” tambah beliau.
Beliau berharap, dengan adanya pengiktirafan yang lebih terkawal dan rasmi, gelaran Ustaz dan Ulama dapat dipelihara dari sebarang bentuk penyalahgunaan, sekali gus memelihara kesucian agama Islam dan membimbing masyarakat ke arah pemahaman yang lebih tepat dan benar.