KUALA LUMPUR, 13 September – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii, hari ini mengeluarkan kenyataan keras terhadap Pemuda Pas yang dianggapnya sebagai “jantan tak cukup sifat” kerana membuat gesaan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), meletakkan jawatan.

Dalam satu kenyataan media, Razlan mempersoalkan sikap Pemuda Pas yang disifatkannya sebagai suka “memukul curi dari belakang” tanpa keberanian untuk berdepan dengan lawan secara terbuka. Beliau turut menyifatkan gesaan Pemuda Pas untuk Anwar meletakkan jawatan sebagai langkah yang semata-mata bersifat politik, tanpa asas kukuh.

“Pemuda Pas tidak perlu membuat gesaan sebulat suara menuntut PMX meletakkan jawatan hari ini kerana empat sebab yang dibentangkan hanyalah bersifat politik. Yakinlah bahawa PMX bersama jemaah Menteri sedang melaksanakan tanggungjawab memacu negara ke arah ekonomi yang lebih stabil dan berdaya saing,” tegas Razlan.

Razlan turut mengingatkan Pemuda Pas agar mengenang kembali kegagalan mereka semasa berada dalam pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai oleh Pas. Menurutnya, ketika itu, keadaan politik negara dalam situasi kacau-bilau, dengan Dewan Rakyat diisytiharkan darurat politik dan rakyat dibiarkan menderita tanpa bantuan yang mencukupi ketika pandemik Covid-19.

“Kerajaan ketika itu hanya wujud di kaca televisyen, mengumumkan pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan tanpa respons terhadap suara rakyat. Di mana suara Pas ketika itu, terutamanya Pemuda Pas?” soal Razlan.

Beliau juga menuduh Pemuda Pas terlalu “walak” sehingga tidak bersuara ketika rakyat terpaksa bertahan dengan keadaan hidup yang sukar, dan menyindir politik ugut-mengugut yang diamalkan oleh sesetengah pihak dalam parti tersebut.

“Politik ugut-mengugut ini harus ditolak oleh rakyat. Mentaliti sebagai pembangkang juga perlu berubah seiring zaman. Tidak semestinya setiap permintaan yang ditolak perlu diakhiri dengan demonstrasi di jalan raya,” tambahnya lagi.

Razlan turut mencadangkan agar Pemuda Pas memfokuskan isu-isu dalaman seperti kes Projek Janawibawa yang melibatkan Perikatan Nasional, dan mencadangkan agar Presiden Pas sendiri mengambil alih kemudi PN.

Leave a Reply