Kuala Lumpur, 15 September 2024 – Cadangan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, YB TGHA, agar kerjasama Muafakat Nasional 2.0 diteruskan tanpa penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi (DSZH), telah menerima kritikan hebat daripada Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.

Dalam kenyataannya hari ini, Gulam menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu taktik politik yang bersifat “nakal” dan beragenda tersembunyi. Beliau turut menekankan bahawa cadangan ini dilihat sebagai usaha untuk memecahbelahkan perpaduan dalam UMNO, yang kini kukuh di bawah pimpinan DSZH.

“Adalah tidak logik untuk mencadangkan kerjasama politik yang besar seperti ini tanpa melibatkan Presiden UMNO. Presiden merupakan lambang institusi parti, dan cadangan untuk meminggirkan beliau dalam Muafakat Nasional 2.0 sebenarnya cuba melemahkan kepimpinan parti,” ujar Gulam dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau turut memberi amaran kepada ahli-ahli UMNO agar tidak mudah terpedaya dengan cadangan tersebut, yang digambarkannya sebagai sekadar “satira politik” oleh PAS, yang kini berusaha meraih sokongan Melayu selepas kehilangan undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Menurut Gulam, ini hanyalah strategi PAS untuk menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional sebagai modal politik untuk PRK Mahkota.

Gulam turut mencadangkan agar PAS meneliti semula cadangannya, dengan membayangkan senario sebaliknya. “Apa reaksi PAS jika UMNO mencadangkan kerjasama tanpa penglibatan Presiden PAS?” katanya.

Beliau juga menuduh PAS sebagai “iguana politik” yang boleh berubah arah demi kepentingan politik.

Beliau mencadangkan bahawa jika PAS benar-benar ikhlas ingin mewujudkan Muafakat Nasional 2.0, mereka perlu memastikan Parti Bersatu tidak terlibat, kerana menurut Gulam, Parti Bersatu telah merosakkan Muafakat Nasional yang pertama.

“Kita lihat sejauh mana keberanian PAS untuk menerima cabaran ini,” kata Gulam.

Cadangan Muafakat Nasional 2.0 ini menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan pemerhati politik, dengan ramai yang melihatnya sebagai satu lagi langkah untuk menyusun semula landskap politik negara, terutamanya menjelang pilihan raya kecil yang akan datang.

Leave a Reply