KUALA LUMPUR, 14 September 2024 – Himpunan 24K Huffaz yang julung kali diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini telah mencatat sejarah apabila seramai 24,000 huffaz dari seluruh negara berkumpul bagi memeriahkan acara yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Program ini merupakan satu manifestasi usaha Kerajaan dalam memartabatkan institusi tahfiz dan Al-Quran di Malaysia. Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan komited untuk terus memperkasa golongan huffaz sebagai modal insan penting yang bakal menerajui kepimpinan, moral, dan etika di negara ini.
“Golongan huffaz adalah nadi kepada pembinaan modal insan berkualiti yang mampu bukan sahaja menguasai hafazan Al-Quran, tetapi turut cemerlang dalam pelbagai bidang profesional,” kata Perdana Menteri. Beliau turut memuji inisiatif Dasar Tahfiz Negara (DPTN) yang menyediakan pelbagai peluang dan sokongan kepada para pelajar tahfiz, termasuklah pengenalan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB), dan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH).
Program ini turut memperkenalkan satu lagi inisiatif penting, iaitu Eksplorasi TVET-Tahfiz, yang menggabungkan kemahiran teknikal dan vokasional dengan pengajian Al-Quran. Inisiatif ini bertujuan untuk melahirkan huffaz yang bukan sahaja mahir dalam hafazan tetapi juga berupaya bersaing dalam bidang profesional di peringkat global.
Antara pengisian program termasuklah sesi tazkirah, forum perdana, dan solat hajat, di samping pameran yang mempamerkan pelbagai produk pendidikan tahfiz dan inisiatif kerajaan. Sambutan yang hangat daripada para peserta mencerminkan betapa institusi tahfiz terus dihargai dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Dengan tema “Huffaz Tonggak Modal Insan Negara”, program ini diharap dapat membuka lembaran baharu dalam pembangunan generasi huffaz yang seimbang antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Program seumpama ini dijangka akan terus dijalankan dengan skala yang lebih besar pada masa akan datang, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan tahfiz di rantau ini.
Semoga usaha murni ini diberkati dan terus diperkasakan demi kesejahteraan ummah serta kemakmuran negara.