Kuala Lumpur, 18 September 2024 – Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, mengkritik keras perjalanan Muktamar PAS ke-70 yang berakhir Ahad lalu, mendakwa ia mempamerkan akhlak yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam satu kenyataan media, beliau menegaskan bahawa perbahasan penuh cacian dan fitnah terhadap UMNO serta kerajaan tidak mencerminkan nilai-nilai akhlak Islam yang sebenar.

“Adakah caci, maki dan fitnah dibolehkan dalam Islam? Ini yang ditunjukkan dalam Muktamar PAS baru-baru ini. Lebih mengecewakan lagi apabila YAB Presiden DSZH menjadi sasaran utama, dengan isu-isu seperti kes mahkamahnya, tuduhan menggadaikan maruah kepada DAP, dan kegagalan mempertahankan 3R dihamburkan tanpa henti,” kata Gulam.

Beliau turut menyentuh insiden di mana perwakilan PAS dari Perlis menegur kepimpinan parti berhubung akhlak sesetengah pemimpin, namun teguran itu dibalas dengan dalil-dalil yang mempertahankan kesalahan tersebut.

Gulam juga menyorot kenyataan Ketua Penerangan PAS, YB Fadhli Saari, yang menyatakan bahawa pemimpin PAS “bukan malaikat dan tidak maksum,” sebagai percubaan menghalalkan salah laku mereka.

“Kebebasan bersuara di dalam PAS seolah-olah tidak wujud. Pembahas yang menegur dikenakan tindakan disiplin. Mereka sendiri menjadikan pemimpin-pemimpin mereka seolah-olah maksum dan seperti malaikat,” tambahnya.

Gulam turut mempersoalkan cadangan kontroversi dalam Muktamar tersebut yang menyeru ahli PAS lelaki supaya berkahwin dengan wanita bukan Melayu/Islam sebagai satu langkah untuk meningkatkan bilangan pengundi PAS pada masa hadapan.

“Muktamar kali ini penuh dengan dosa kering, seperti yang disebut oleh YAB DSZH,” ujar beliau sinis.

Muktamar PAS ke-70 mendapat perhatian meluas ekoran beberapa kenyataan kontroversi yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat dan pemerhati politik.

Leave a Reply