KUALA LUMPUR, 7 Disember 2025 — Peguam kepada pempengaruh media sosial, Norsufia Johari atau lebih dikenali sebagai Cik Pia, iaitu Dato’ Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates tampil mengeluarkan penjelasan rasmi berhubung perkembangan dua prosiding sivil melibatkan anak guamnya yang kini berjalan di mahkamah.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kedudukan sebenar berdasarkan dokumen yang telah difailkan oleh pihak-pihak terlibat, selain menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan integriti proses kehakiman.
PERMOHONAN JAMINAN KOS RM75,000
Menurut Adnan, dalam Guaman Sivil No. WA-B53CY-26-08/2025 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pihak Defendan telah memfailkan permohonan jaminan kos berjumlah RM75,000 terhadap dua plaintif, Norhaslinda Abdullah (Nur Nilam) dan Mohd Azlan Kamiran (Azlan).
Permohonan tersebut dibuat atas alasan:
Plaintif Pertama adalah warganegara Thailand dan boleh meninggalkan negara pada bila-bila masa.
Plaintif Kedua berstatus bankrap (undischarged bankrupt).
“Justeru, kami memohon agar Plaintif diarahkan menyediakan jaminan kos dalam jumlah ditetapkan bagi melindungi kepentingan Defendan sekiranya prosiding diteruskan,” jelas Adnan.
Selain itu, pihak Defendan turut memohon agar writ saman dan pernyataan tuntutan Plaintif Kedua dibatalkan, kerana didakwa difailkan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Insolvensi seperti yang disyaratkan undang-undang.
Mahkamah telah menetapkan tarikh bicara pada 13 dan 14 Mei 2026, manakala PTCM secara fizikal pada 6 Mei 2026.
KES BERKAITAN DI MAHKAMAH SESYEN BANGI
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi (BI-B53CY-2-08/2025), syarikat MSH Empire Resources memfailkan permohonan injunksi interim ex parte terhadap tiga defendan:
Azlan, Nur Nilam, dan Nilam Ortiz Ventures.
Antara perintah injunksi yang dipohon:
Menghalang Defendan daripada menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap syarikat.
Arah memadam hantaran media sosial termasuk TikTok, Instagram, Facebook dan platform lain.
Larangan sementara daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi perniagaan Plaintif.
Notis bahawa kegagalan mematuhi perintah boleh dianggap penghinaan Mahkamah (contempt).
Menurut afidavit sokongan Muhammad Syahmi Mohamad Hisyamudden, permohonan dilakukan kerana wujud unsur “utmost urgency” bagi menghentikan penyebaran dakwaan berkaitan produk dan perniagaan syarikat.
Kes tersebut dijadualkan untuk pengurusan pada 26 Disember 2025 secara e-review, termasuk semakan status pematuhan arahan pemfailan dokumen.
LATAR BELAKANG: SAMAN FITNAH TERHADAP CIK PIA
Pada Ogos lalu, Azlan dan Nur Nilam memfailkan saman fitnah terhadap Cik Pia, menuduh pempengaruh itu mengeluarkan kenyataan yang didakwa:
mengandungi unsur fitnah,
bersifat provokatif,
manipulatif,
serta membawa implikasi kepada tekanan emosi Plaintif Pertama yang ketika itu sedang hamil.
Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan injunksi inter partes terhadap Cik Pia setelah meneliti dokumen kedua-dua pihak.
SERUAN MENGHENTIKAN SPEKULASI
Susulan pelbagai kenyataan dan perdebatan di media sosial, peguam Cik Pia menasihati orang awam untuk menghormati proses mahkamah dan tidak menimbulkan spekulasi yang boleh mencemarkan perjalanan kes.
“Semua pihak wajar memberi ruang kepada mahkamah untuk membuat penilaian berdasarkan fakta dan dokumen yang sah,” tegas Adnan.
#CikPia #AzlanNilam #KesSivil2025 #IsuViralMalaysia #MahkamahSesyenKL #IsuFitnah #AATVNews #DramaMediaSosial #KebenaranFakta #UpdateTerkini