KUALA LUMPUR, 5 Disember 2025 — Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk Sri RS Thanenthiran, meluahkan rasa sedih ketika mengikuti prosiding kes saman sivil SRC hari ini apabila menerima berita pemergian Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Menurut beliau, reaksi Dato’ Sri Najib Razak jelas menunjukkan kesedihan mendalam apabila dimaklumkan berita duka itu.

Thanenthiran menyifatkan Allahyarham Bung Moktar sebagai seorang tokoh yang mempunyai sumbangan besar bukan sahaja kepada rakyat Sabah, malah kepada rakyat Semenanjung melalui peranan beliau sebagai “jambatan hubungan” antara Malaysia Timur dan Barat.

“Beliau benar-benar sedih. Sumbangan arwah bukan sahaja untuk Sabah tetapi seluruh negara. Kita dapat lihat wajah beliau tidak dapat menyembunyikan kesedihannya,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pihak menerima ketentuan Ilahi dan terus mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama golongan yang beriman.

SRC Saman Sivil Ditangguhkan

Thanenthiran turut memberitahu wartawan AATV bahawa prosiding kes SRC pada hari ini ditangguhkan, tanpa sebarang halangan teknikal.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan harapan agar kerajaan Madani segera mempertimbangkan kedudukan Datuk Seri Najib Razak yang masih menjalani hukuman di Penjara Kajang.

“Sampai bila kerajaan Madani mahu simpan Datuk Seri Najib di penjara Kajang? Selagi beliau di sana, selagi itu kemarahan rakyat Sabah tidak reda,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya Najib bebas atau sekurang-kurangnya berada di Sabah ketika PRN Sabah baru-baru ini, Barisan Nasional berkemungkinan besar mampu mencatat kemenangan besar.

Tekanan Politik Terhadap Bung Moktar

Thanenthiran turut mengulas tekanan politik yang dipercayai dihadapi Allahyarham Bung Moktar, khususnya ketika BN mengambil keputusan keluar daripada gabungan GRS dan kemudian kembali bekerjasama selepas PRN.

“Keputusan yang berubah-ubah ini memberi tekanan besar kepada arwah. Kita seolah-olah tiada ketetapan dan tiada prinsip. Ini memberi beban berat kepada pemimpin,” katanya.

Beliau menekankan bahawa ketidaktentuan arah politik BN ketika itu mungkin menyumbang kepada tekanan emosi dan tanggungjawab berat yang dipikul Bung Moktar.

Thanenthiran sekali lagi mengakhiri kenyataan dengan doa agar Allahyarham DSP Bung Moktar dirahmati dan diberikan ketenangan.

#AATVBreaking #BungMoktar #NajibRazak #SabahPolitics #SRC #MakkalSakti #PolitikMalaysia #KerajaanMadani #BeritaSemasa #AATVNews

Leave a Reply