Sabah, 1 Oktober 2024 – Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim, hari ini menyeru agar Ahli Parlimen Kota Kinabalu, YB Chan Foong Hin, tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan mengapi-apikan isu yang sedang dalam siasatan polis.

Beliau menegaskan bahawa isu yang menjadi kontroversi ini bermula daripada pemimpin pihak YB Chan sendiri, dan oleh itu, tiada keperluan untuk menimbulkan provokasi lanjut, terutama ketika siasatan masih dijalankan.

Menurut Sufian, terdapat persetujuan jelas antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan, yang menetapkan bahawa isu-isu berkaitan agama Islam tidak sepatutnya diganggu. Kesepakatan ini wujud bagi memastikan keharmonian di kalangan rakyat terus terpelihara.

“Jikalau memperjuangkan isu halal dianggap ekstremis, maka YB Chan perlu bermuhasabah diri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara BN dan PH,” ujar beliau.

Sufian menegaskan, kerjasama antara BN dan PH penting untuk diperkukuhkan, apatah lagi selepas kejayaan calon perpaduan di DUN Mahkota baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, fokus semua pihak kini harus tertumpu kepada mengukuhkan parti masing-masing dan melanjutkan kejayaan yang telah dicapai ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Sufian turut menyeru agar kedua-dua pihak membuang perbezaan kecil yang berpotensi memecah-belahkan kerjasama.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih,” katanya, sambil menambah bahawa setiap pihak pasti ada melakukan kesilapan, tetapi jika kesalahan dijadikan kayu ukur, segala usaha yang telah dibina bersama akan musnah.

Kenyataan ini dilihat sebagai tindak balas kepada kenyataan YB Chan yang dianggap mengganggu keharmonian antara dua parti dalam Kerajaan Perpaduan, terutama berkaitan dengan isu-isu agama yang sensitif.

Sufian berharap bahawa semua pihak dapat mengekalkan kestabilan politik demi kepentingan rakyat Sabah dan negara.

#PENSabah #UMNOSabah #SabahBaru

Leave a Reply