Miri, 30 September 2024 – Meskipun muzik moden mendominasi pasaran hari ini, irama Pop Yeh Yeh dari era 1960’an dan 1970’an masih mengekalkan pengaruhnya di kalangan peminat setia. Muzik yang pernah mendapat inspirasi daripada kumpulan legenda British, The Beatles, terus menjadi pilihan dalam pelbagai acara seperti majlis perkahwinan dan pusat karaoke.

Nama-nama besar seperti M. Shariff, A. Ramlie, M. Osman, S. Jibeng, Dato’ A. Rahman Hassan, dan kumpulan The Rhythm Boys serta The Siglap Five seringkali dikaitkan dengan kegemilangan muzik Pop Yeh Yeh. Walaupun waktu berlalu, irama rancak mereka terus mendapat tempat di hati pendengar lama dan baharu.

Menghargai jasa artis-artis veteran yang masih berkarya, Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) akan menganjurkan satu majlis khas bertajuk Malam Nostalgia “Down Memory Lane” pada 1 November 2024 di Pullman Miri Waterfront. Majlis ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga bertujuan mengumpul dana untuk tabung kebajikan artis-artis veteran yang memerlukan bantuan.

Menurut Puan Sandakiah Azez, Pengerusi YAVM, acara ini bakal menyaksikan persembahan hebat daripada barisan penyanyi terkenal seperti Datuk Jefrydin, A. Rahman Onn, J. Sham, S. Mariam, Junainah M. Amin, dan penyanyi jelmaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, P. Radhi. Persembahan turut disertai oleh pelawak Abon, Juara Maharaja Lawak.

“Kami akan mempersembahkan 23 buah lagu tanpa henti dengan iringan Sandpepper Band dan penari-penari dari kumpulan Gah Rentak. Lagu-lagu yang dipilih pasti membangkitkan kenangan manis dan memuaskan hati para tetamu yang hadir,” kata Puan Sandakiah.

Majlis ini mendapat sokongan daripada YBhg. Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah Haji Anu, balu mantan Premier Sarawak, Allahyarham Pehin Seri Haji Adenan Haji Satem. Beliau dijangka hadir bersama tetamu-tetamu kehormat lain pada malam tersebut.

Harga tiket untuk majlis ini bermula dari RM200 seorang termasuk makan malam. Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan artis kegemaran mereka, tempahan boleh dibuat melalui laman Facebook Yayasan Artis Veteran Malaysia atau melalui Hotline yang disediakan.

Penganjuran malam nostalgia ini membuktikan bahawa muzik Pop Yeh Yeh masih relevan dan terus diminati walaupun berdekad telah berlalu.

Leave a Reply