KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2024 – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menafikan sebarang pergolakan dalaman yang didakwa berlaku dalam organisasi itu dan menegaskan komitmen mereka untuk terus mematuhi perlembagaan persatuan serta melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan telus.
Menurut Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Bin Fauzi, selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GPMS, GPMS mengesahkan bahawa mereka sedang dalam perancangan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) di Pahang tahun ini, yang turut akan melibatkan pemilihan Jawatankuasa Majlis Tertinggi bagi penggal akan datang.
Kata Fazreen Ismadi, mesyuarat juga membincangkan saranan daripada Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia (ROY) agar pemilihan jawatankuasa dijalankan dalam PAT kali ini, selain permintaan dari beberapa negeri untuk mengadakan Persidangan Agung Khas (PAK).
“GPMS akan sentiasa merujuk kepada pihak ROY dalam mendapatkan nasihat dan saranan berkaitan proses pemilihan. Kami akan memastikan PAT atau PAK ini dijalankan mengikut perlembagaan GPMS dan tidak akan membelakangi saranan ROY,” katanya ketika Sidang Media di Ibu Pejabat GPMS disini hari ini.
Perlembagaan GPMS, yang diperuntukkan di bawah Fasal 15.1, menetapkan tempoh pegangan jawatan Majlis Tertinggi adalah selama 3 tahun dari tarikh pemilihan. Bagaimanapun, pemilihan bagi jawatankuasa baru telah ditangguhkan sebelum ini akibat kekangan pandemik COVID-19.
“Isu pemilihan ini mungkin menimbulkan sedikit kekeliruan dalam kalangan ahli, tetapi kami ingin menegaskan bahawa GPMS tetap berpegang teguh kepada prinsip perlembagaan. Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan peraturan yang ditetapkan,” jelas GPMS lagi.
Dalam Sidang Media yang sama, GPMS turut menafikan spekulasi bahawa persatuan tersebut kini berhadapan dengan krisis dalaman yang meruncing.
“GPMS tidak bergolak. Kami menegaskan bahawa segala berita mengenai pergolakan dalaman hanyalah khabar angin. Fokus utama GPMS kini adalah memperkasakan pendidikan anak-anak Melayu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” tegasnya.
Kerjasama dan solidariti di antara kepimpinan negeri-negeri adalah kukuh, dengan sokongan padu dari pelbagai pihak bagi memastikan agenda pendidikan anak bangsa dapat diteruskan, tegas GPMS.
Gerak Kerja GPMS & Agenda Pendidikan
GPMS turut berkongsi mengenai agenda dan program yang sedang dirancang untuk meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan pelajar Melayu di seluruh negara.
Organisasi tersebut bertekad untuk memastikan suara dan keperluan pelajar Melayu diambil kira dalam sistem pendidikan nasional, selari dengan dasar pendidikan negara.
“Matlamat kami adalah untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah, seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara. Kami akan terus menggerakkan program-program pendidikan serta latihan untuk anak-anak Melayu di peringkat sekolah dan universiti,” tambahnya.
GPMS dijangka akan mengumumkan tarikh rasmi Persidangan Agung Tahunan dalam masa terdekat setelah mendapat panduan penuh daripada pihak ROY.