KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2024 – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia dengan kerjasama SD Guthrie Berhad telah menganjurkan Persidangan Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Bersama Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC OSH Summit) 2024. Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Mohamad.
Persidangan ini, yang diadakan buat kali kedua berturut-turut, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuhkan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di kalangan GLC di Malaysia. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan pekerja dan memastikan amalan KKP yang lebih mantap di tempat kerja.
JKKP berharap agar program ini menjadi acara tahunan yang akan terus melibatkan kerjasama strategik di antara GLC melalui pembentukan rangkaian tetap yang dikenali sebagai GLC OSH Network (GLC-OSHNET).
Dato’ Sri Abdul Rahman, dalam ucapannya, menekankan kepentingan peranan GLC sebagai peneraju dalam memastikan amalan keselamatan yang baik di tempat kerja. “GLC berfungsi sebagai ‘role model’ dalam kalangan industri. Pengurusan yang efektif terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan memberi impak besar kepada ekosistem pekerjaan di negara ini,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa inisiatif ini selaras dengan tema persidangan tahun ini, iaitu “Memperkasa dan Meningkatkan Prestasi KKP melalui Pematuhan”.
Tema tersebut mencerminkan hasrat kerajaan untuk memastikan semua GLC mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan serta meningkatkan lagi amalan terbaik dalam pengurusan KKP.
Jawatankuasa tetap yang dibentuk di bawah GLC-OSHNET akan memainkan peranan penting dalam menyelaras aktiviti-aktiviti berkaitan KKP di kalangan syarikat GLC. Langkah ini dijangka dapat memastikan pematuhan yang lebih baik dan perkongsian amalan terbaik di kalangan pemain industri. GLC dilihat sebagai pemacu utama yang berupaya meningkatkan tahap KKP negara menerusi pendekatan yang lebih sistematik dan strategik.
Kerajaan Komited dalam Meningkatkan KKP Negara
Kerajaan Malaysia turut menekankan komitmen terhadap hala tuju strategik negara yang berteraskan Kerangka Strategik Malaysia Madani dengan visi Membina Malaysia yang Madani, Maju dan Sejahtera Menjelang 2030.
Inisiatif-inisiatif seperti GLC OSH Summit ini diharapkan dapat menyumbang kepada pencapaian objektif strategik ini, terutamanya dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan menjadi keutamaan di sektor-sektor utama negara.
JKKP menyatakan keyakinannya bahawa Persidangan Kemuncak ini bukan sahaja akan memperkukuhkan kerjasama antara GLC tetapi juga akan memberi impak positif kepada keselamatan pekerja di seluruh negara, menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih selamat dan sejahtera untuk bekerja.