TERENGGANU, 4 Oktober 2024 – Menteri Luar Negeri, Zambry Abdul Kadir, yang mesra dikenali sebagai “Doc Zam”, semalam berkongsi pengalaman peribadi dan memberikan tips membina keyakinan diri ketika berucap di hadapan orang ramai.

Ketika sesi interaksi bersama pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Zambry menjawab soalan daripada seorang pelajar yang bertanya, “Doc Zam, apakah tips nak bina keyakinan dan keberanian diri untuk bercakap depan ribuan orang ramai macam ni?”

Zambry berkongsi bahawa beliau juga pada suatu ketika dulu merupakan seorang yang agak pemalu dan kurang yakin. Namun, penglibatannya dalam aktiviti semasa di sekolah menengah, serta pengalamannya di universiti, membantunya membina keyakinan diri.

Beliau menekankan bahawa kampus adalah tempat terbaik untuk menimba ilmu serta membina hubungan dengan masyarakat.

Katanya, pelajar-pelajar, terutama yang bersifat introvert, perlu menggunakan peluang ini untuk terlibat dalam aktiviti organisasi dan persatuan bagi menonjolkan diri.

“Saya dulu pun sebenarnya seorang yang tiada keberanian dan agak takut-takut juga. Namun, semuanya berubah ketika sekolah menengah dan semakin terserlah apabila memasuki universiti,” jelas beliau kepada pelajar yang hadir.

Zambry turut menekankan kepentingan mencapai keseimbangan antara penglibatan dalam persatuan dan kecemerlangan akademik. Beliau berharap pelajar dapat mengembangkan diri menjadi graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga mempunyai jati diri yang kukuh.

“Ini yang selalu saya sebutkan, kita mahu melahirkan graduan yang mempunyai pakej ‘otak dan watak’,” katanya.

Sesi tersebut mendapat sambutan hangat daripada pelajar yang hadir, dengan ramai menyatakan inspirasi mereka terhadap pengalaman Zambry dan tips-tips yang dikongsikan.

#doczam #UMT #KementerianPendidikanTinggi #MalaysiaMadani

Leave a Reply