CYBERJAYA – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melaksanakan Program Biasiswa Yayasan PEKEMA.

Program itu bertujuan menyokong pelajar cemerlang daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) untuk meneruskan pengajian ijazah Sarjana Muda mereka.

Untuk tahun ini, Yayasan PEKEMA akan menaja satu pelajar dengan biasiswa berjumlah RM30,000, yang merangkumi keseluruhan tempoh pengajian selama empat tahun di UPM.

Pelajar yang akan dipilih adalah berdasarkan pencapaian akademik ygang cemerlang dan bergiat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum.

Sumbangan Biasiswa Yayasan PEKEMA telah diserahkan oleh Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin kepada Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Profesor Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad sambil disaksikan barisan Exco PEKEMA yang terdiri daripada Timbalan Presiden, Dato’ Wan Sazrudeen Dato’ Wan Zaid, Naib Presiden, YM Raja Petra Marudin Raja Nordin, Setiausaha Kehormat, Ahmad Faresh Ahmad Zahid dan Biro Perhubungan Kastam & Logistik, Mohd Hafiz Abdul Rashid.

Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam memupuk kerjasama antara universiti dan PEKEMA untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada mereka yang memerlukan.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, pihaknya menekankan, inisiatif ini mencerminkan komitmen mereka untuk menyokong pendidikan di Malaysia, khususnya untuk pelajar daripada latar belakang B40.

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah dan kompetitif,” katanya.

Program Biasiswa Yayasan PEKEMA dijangka menjadi pemangkin untuk pelajar mencapai kejayaan akademik dan seterusnya, menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Inisiatif ini menandakan komitmen PEKEMA dalam menyokong pendidikan di negara ini dan membantu mengurangkan beban kewangan pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Dengan pelaksanaan program ini, PEKEMA berharap dapat membentuk generasi muda yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

By Cynthia

Leave a Reply