Kuala Lumpur, 7 Oktober 2024 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar GulamMustakim, mengkritik keras pandangan yang diutarakan oleh Prof Dr Tajuddin yang dianggap berat sebelah dalam menilai situasi politik UMNO selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam satu kenyataan media hari ini, Gulam Muszaffar menyatakan rasa tidak puas hati dengan artikel yang ditulis oleh Prof Dr Tajuddin, yang menuduh UMNO dan pemimpinnya berada dalam sindrom penafian.
Prof Tajuddin turut menuding jari kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (DSN) dan mengaitkannya dengan skandal 1MDB dan Tabung Haji, yang dikatakan sebagai propaganda buruk yang dimanipulasi oleh pembangkang pada masa itu.
Gulam menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah jika Prof Tajuddin bersikap neutral dalam mengeluarkan pendapat. Namun, beliau mempersoalkan mengapa Prof Tajuddin tidak menyentuh janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang dahulu, seperti isu pendidikan percuma, pemansuhan PTPTN, dan pemansuhan tol, yang hingga kini belum direalisasikan sepenuhnya.
Gulam turut menekankan bahawa 90% dasar kerajaan hari ini masih meneruskan legasi yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, termasuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan projek-projek mega seperti ECRL, MRT2 & MRT3, serta Projek TRX. Beliau menambah, satu dasar penting yang belum dikembalikan adalah GST, yang dikatakan lebih efektif daripada SST dalam mengawal kos sara hidup rakyat.
Beliau juga menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap Prof Dr Tajuddin yang tidak mengulas isu-isu sensitif yang pernah dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin DAP berkenaan hal ehwal Melayu dan Islam.
Sebaliknya, Prof Tajuddin lebih cenderung menyalahkan pemimpin UMNO seperti Ketua Pemuda UMNO YB Datuk Akmal dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi YB Senator Datuk Seri Nur Jazlan.
Gulam Muszaffar turut menyatakan bahawa UMNO tidak menafikan kelemahan mereka dalam PRU15 dan Pilihan Raya Negeri yang lalu. Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (DSZH), secara terbuka mengakui penolakan masyarakat Melayu terhadap parti tersebut dan kini sedang mengambil langkah untuk mengukuhkan semula sokongan orang Melayu terhadap UMNO.
Menurutnya, kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota adalah bukti bahawa rakyat, termasuk golongan muda, kembali menyokong UMNO.
Gulam berpendapat bahawa pandangan Prof Dr Tajuddin yang menyifatkan UMNO dalam sindrom penafian adalah tidak tepat dan bertujuan untuk merosakkan imej parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).