KUALALUMPUR, 6 Oktober 2024 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terus komited dalam usaha membangunkan modal insan khususnya di kalangan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana di Wilayah Persekutuan.
Baru-baru ini, YWP menganjurkan “Program Kem Pembinaan Karakter Generasi Madani” di Photon Valley Eco Resort, Hulu Langat, Selangor, selama tiga hari dua malam, bermula 4 hingga 6 Oktober 2024.
Program ini bertujuan membentuk karakter positif di kalangan pelajar melalui pendekatan pembelajaran interaktif, diskusi, dan aktiviti luar. Sebanyak 80 pelajar tingkatan empat daripada sembilan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di sekitar Kuala Lumpur terlibat dalam program ini.
Majlis penutup program tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP.
Turut hadir adalah YBrs. Ahmad Tarmizi bin Baharom, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL.
Peluang Bina Jati Diri dan Kepimpinan
Menurut Dr. Abdul Basir, program seperti ini bukan sahaja membantu pelajar cemerlang dalam akademik, malah turut menekankan kepentingan pembangunan sahsiah diri.
“Pelajar yang terlibat berpeluang meningkatkan keterampilan komunikasi, disiplin, serta nilai-nilai kepimpinan melalui aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa perbelanjaan keseluruhan program ini berjumlah RM33,000.00, dibiayai sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kos ini meliputi logistik, sewa lokasi, pembayaran fasilitator, dan penyediaan bahan maklumat serta promosi.
Menyokong Pendidikan Holistik
YWP bercadang untuk terus menganjurkan program motivasi yang menyasarkan lebih ramai pelajar PPR di masa hadapan. Program ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang tidak hanya cemerlang akademik, tetapi juga memiliki karakter yang kuat dan berdaya saing untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Dalam usaha tersebut, YWP turut mengalu-alukan sumbangan daripada individu atau syarikat korporat untuk bersama-sama membasmi kemiskinan bandar dan meningkatkan taraf hidup penduduk Wilayah Persekutuan.
Sumbangan kepada Program Kebajikan
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Kebajikan & Pelajaran YWP melalui akaun CIMB Bank (No. akaun: 8001103675) atas nama “YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN” dengan catatan kod “SUMBANGAN TABUNG YWP”.