Manila, 14 Oktober 2024 – Malaysia dan Filipina komited untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, terutama dalam bidang industri halal dan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Perkara ini disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas kunjungan hormat beliau kepada Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr., hari ini.
Pertemuan tersebut juga menjadi titik penting dalam mempersiapkan Malaysia untuk mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Ahmad Zahid menyatakan komitmen negara untuk memperluas pensijilan halal bagi memperkukuh perdagangan halal di rantau ini. Menurutnya, sektor pelancongan halal turut dikenalpasti sebagai satu potensi besar untuk diterokai bersama antara kedua-dua negara.
“Kerjasama ini dapat membuka ruang kepada pelbagai peluang perdagangan baharu, termasuk dalam sektor pelancongan halal yang kian mendapat perhatian global,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan media selepas pertemuan itu.
Selain industri halal, TVET turut menjadi agenda utama. Malaysia merancang untuk bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Filipina (TESDA) bagi memperkukuh tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
“Perkongsian ini dijangka membawa manfaat besar kepada pembangunan sumber manusia kedua-dua negara,” katanya.
Ahmad Zahid turut mencadangkan inisiatif latihan bersama antara Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi penyelamat Filipina. Langkah ini bertujuan memperkuatkan kemampuan kedua-dua negara dalam pengurusan bencana. Zahid menegaskan bahawa Malaysia bersedia untuk memberi bantuan ketika Filipina berhadapan dengan situasi bencana.
Pertemuan ini turut menekankan nilai dan aspirasi bersama dalam memastikan kestabilan serta kemakmuran serantau. Kedua-dua pemimpin berharap hubungan Malaysia-Filipina akan terus berkembang ke arah lebih banyak kerjasama pada masa hadapan.