Kuala Lumpur, 14 Oktober 2024 – Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, hari ini menolak dengan tegas cadangan yang dibawa oleh DAP Wilayah Persekutuan (WP) untuk meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960.

Menurut Gulam, cadangan ini tidak membawa sebarang manfaat kepada pentadbiran dan pengurusan bandar Kuala Lumpur.

Cadangan tersebut yang dikemukakan dalam Konvensyen DAP WP semalam bertujuan memperkenalkan pemilihan ahli-ahli majlis secara demokrasi tempatan, seperti yang dilakukan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri-negeri lain. Namun, Gulam Muszaffar berpendapat bahawa cadangan tersebut lebih kepada agenda politik yang tidak seharusnya menjadi keutamaan DAP WP.

“Cadangan ini diulang sekali lagi, seolah-olah ini adalah agenda paling utama DAP WP yang perlu ditunaikan. Saya pasti ada agenda tersembunyi di sebalik usaha mereka yang beriya-iya mahu meminda akta ini,” kata Gulam Muszaffar ketika ditemubual AATV hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa sistem pentadbiran yang sedia ada di Kuala Lumpur sudah mencukupi dengan pelantikan Datuk Bandar oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, serta kewujudan Ahli Lembaga Penasihat DBKL dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di setiap parlimen.

“DAP WP sepatutnya lebih fokus kepada agenda pembangunan lestari, penguatkuasaan undang-undang, pembinaan rumah mampu milik, dan usaha meningkatkan peluang perniagaan untuk warga kota. Bukannya terus bermain dengan sentimen politik yang boleh merosakkan keharmonian kaum di bandar ini,” tambah beliau.

Gulam Muszaffar turut menyatakan kebimbangan tentang kos pembaziran wang rakyat sekiranya pemilihan ahli-ahli majlis dilaksanakan, yang menurutnya akan menyebabkan beban tambahan kepada pentadbiran bandar.

Sebagai pemimpin UMNO di Wilayah Persekutuan, Gulam menegaskan bahawa beliau akan terus mempertahankan sistem pentadbiran sedia ada dan bersedia untuk berdebat dengan mana-mana ahli parlimen DAP WP yang mahu meneruskan cadangan tersebut.

“Apa yang perlu diubah bukanlah akta, tetapi pemikiran pemimpin DAP yang terlalu jumud dan sering membawa agenda yang hanya menguntungkan satu pihak sahaja,” katanya.

Cadangan untuk meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 telah dibawa beberapa kali oleh DAP WP, namun ia terus mendapat tentangan daripada pelbagai pihak yang melihat ia sebagai usaha yang tidak sesuai dengan keperluan semasa Kuala Lumpur.

Leave a Reply