PULAU PINANG, 15 Oktober 2024 – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang hari ini mengumumkan sokongan penuh terhadap cadangan YB Aiman Athirah, Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, untuk meminda Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya bagi memastikan sekurang-kurangnya 30% calon yang bertanding dalam pilihan raya adalah wanita.
Dalam satu kenyataan media, Pergerakan Puteri UMNO menekankan bahawa langkah ini adalah penting dalam memperkasa golongan wanita muda dan meningkatkan keterlibatan mereka dalam politik. Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, penguasaan wanita dalam bidang politik kini masih berada pada kadar yang membimbangkan iaitu 0.102%. Oleh itu, peruntukan minima 30% calon wanita dilihat sebagai langkah strategik untuk meningkatkan suara dan kepentingan wanita dalam proses pembuatan dasar.
“Kami percaya bahawa wanita merangkumi separuh daripada populasi negara dan perlu diwakili secara lebih adil dalam politik. Dengan memastikan sekurang-kurangnya 30% calon adalah wanita, kita dapat menyumbang kepada penggubalan undang-undang yang lebih inklusif dan peka terhadap isu-isu wanita,” kata seorang wakil Puteri UMNO Pulau Pinang.
Sokongan terhadap pindaan ini tidak hanya dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh peranan wanita dalam politik tetapi juga sebagai langkah bagi parti UMNO untuk memperkukuh reformasi politik. Pergerakan Puteri UMNO menyatakan bahawa ia akan memberikan imej positif kepada UMNO sebagai parti yang inklusif dan progresif dalam isu-isu gender, seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen UMNO dalam melibatkan semua lapisan masyarakat.
Lebih jauh lagi, cadangan ini juga selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya Matlamat 5 yang menekankan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita. “Kami yakin bahawa dengan menjadi pendokong utama kepada pindaan akta ini, kita dapat mendorong lebih ramai wanita muda untuk terlibat dalam politik dan mencapai kesaksamaan gender yang lebih mantap dalam negara,” tambah wakil tersebut.
Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang berharap agar pihak berkepentingan mengambil serius cadangan ini dan bertindak segera demi masa depan politik yang lebih inklusif dan saksama.