KUALA LUMPUR – Parti Progresif Rakyat (myPPP) memohon kerajaan supaya menambah jumlah peruntukkan bantuan untuk rakyat India sekurang-kurangnya RM5 juta.

Presidennya Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, peruntukkan bantuan berjumlah RM1.5 juta itu tidak mencukupi berikutan peratus kemiskinan di bawah B40 untuk orang India sangat besar berbanding bangsa lain.

“Saya memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula untuk menambah jumlah peruntukkan itu sebanyak RM5 juta.

“Ini kerana jumlah yang diberi tidak mencukupi dan berharap Perdana Menteri menambah peruntukkan itu bagi membantu masyarakat India disamping dapat mengurangkan jurang perbezaan dengan bangsa lain,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MyPPP yang diadakan, baru-baru ini.

Dr Loga berkata, pada mesyuarat yang diadakan pihaknya turut sepakat mengadakan projek untuk rakyat iaitu Water For Community (WFC) dan Food For Community (FFC).

“Selepas mengambil kira banyak hal dalam usaha membantu dan mengurangkan beban rakyat kami sepakat mengadakan dua projek ini. Untuk pemberian air secara percuma ia akan diletakkan di hadapan pejabat MyPPP.

“Manakala makanan akan diberikan setiap hari Sabtu dan sebagai permulaan sebanyak 50 bungkus diperuntukkan buat masa ini.

“Kami memilih kawasan ini berikutan melihat ia semakin menjadi tumpuan orang ramai termasuklah pelancong yang semakin membanjiri kawasan sekitar,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply