KLANG, 21 Oktober 2024 – Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Dato’ Dr. Kalaivanar, bersama beberapa pemimpin masyarakat, hari ini menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap tindakan agresif Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK) yang terus menunda kenderaan semasa musim perayaan Deepavali.

Dato’ Dr. Kalaiwanar, dalam satu sidang media yang diadakan, menyatakan bahawa isu ini telah berlarutan bertahun-tahun. Setiap kali tiba musim perayaan, ramai warga Klang yang datang untuk membeli-belah dan meraikan perayaan terkesan dengan tindakan penundaan kenderaan, yang menurut beliau, ianya dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta yang diberikan kontrak oleh MBDK.

“Kenderaan-kenderaan diparkir di tepi jalan, bukan di tengah jalan, kerana kedai-kedai di sini menjadi tumpuan semasa perayaan. Namun, tanpa ampun, kereta-kereta ini ditunda oleh pihak yang hanya mahu mengejar keuntungan,” katanya. Dr. Kalaivanar yang turut menegaskan bahawa tindakan penundaan ini tidak wajar dilakukan semasa perayaan kerana ia menambahkan lagi beban kepada rakyat yang hanya ingin menyambut hari kebesaran mereka.

Beliau menuntut agar MBDK menunjukkan sikap lebih mesra rakyat dengan memberi kelonggaran khas semasa perayaan, dan menambah bahawa MBDK mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menguruskan hal ini tanpa melibatkan syarikat swasta.

Pengiktirafan ‘Little India’ Klang

Selain isu penundaan kenderaan, Dr. Kalaivanar turut membawa perhatian kepada satu lagi isu yang telah lama ditunggu-tunggu oleh masyarakat India di Klang, iaitu pengiktirafan kawasan ini (Jalan Tengku Kelana) sebagai ‘Little India’.

“Klang telah dijanjikan akan diiktiraf sebagai ‘Little India’ sejak 2006. Namun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan konkrit. Di tempat-tempat lain seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor, dan Melaka, mereka sudah ada Little India. Kenapa Klang masih ketinggalan?” soal beliau.

Menurut Dr. Kalaivanar, Klang yang kaya dengan sejarah dan budaya India, layak menerima pengiktirafan ini sama seperti kawasan-kawasan lain di Malaysia.

Justeru, beliau dan kumpulan aktivis akan menyerahkan memorandum rasmi kepada Yang Dipertua MBDK pada 21 Oktober 2024, menuntut agar tindakan segera diambil.

Memorandum Akan Diserahkan

Memorandum tersebut akan diserahkan pada jam 2.30 petang di pejabat Yang Dipertua MBDK, dan akan mengandungi dua tuntutan utama:

  1. Penghentian penundaan kenderaan semasa musim perayaan.
  2. Pengiktirafan Klang sebagai ‘Little India’.

“Ini adalah sentimen yang sangat mendalam bagi komuniti kami. Kami berharap MBDK akan bertindak segera, kerana kami rakyat Malaysia yang setia kepada undang-undang, tetapi undang-undang perlu dilaksanakan dengan adil, tanpa pilih kasih,” tegasnya.

Sidang media tersebut diakhiri dengan penekanan bahawa komuniti India di Klang hanya ingin meraikan perayaan mereka dengan aman tanpa dihantui oleh tindakan keras seperti penundaan kenderaan, yang dilihat menindas rakyat jelata.

Leave a Reply