editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sinonim dengan usaha memartabatkan warisan tekstil negara, selebriti Bkay Nair sekali lagi tampil menggabungkan elemen menarik dalam pakaian tradisonal masyarakat majmuk di negara ini.
Sempena dengan pertunjukan fesyen Malaysian Heritage Showcase 2024 (MHS2024) yang bakal berlangsung November depan, Bkay memperkenalkan pakaian tradisional kaum India iaitu sari yang dihasilkan dari tekstil batik.
“Ini kelainan yang kami bawakan pada tahun ini yang dijadualkan akan dipersembahkan pada 23 November depan, di mana antara yang menjadi fokus utama ialah 6 Yards of Beauty di mana pakaian sari dari tekstil batik iaitu antara warisan dan identiti negara kita.
“Lebih menarik saya dalam usaha mendapatkan hasil tangan batik daripada banduan di penjara negara ini sebagai sokongan dan tarikan pada kali ini memandangkan mereka turut menghasilkan batik yang sangat tinggi nilai seninya,” katanya.
Bkay berkata, pemilihan batik pada pertunjukan anjuran Bkay Nair Resources dengan sokongan Persatuan Pembangunan Pernigaan Fesyen Malaysia (PPPFM) kali ini, menampilkan batik sebagai tekstil yang mampu menghasilkan pelbagai jenis dan potongan fesyen mengikut kreativiti pereka.
Bkay yang pernah membintangi filem Ratu The Movie berkata, usaha memperkenalkan batik ke pentas lebih komersial ini mampu menjana pendapatan mereka yang terbabit dalam industri ini.
“MHS2024 juga bakal mengiktiraf dan menyediakan Anugerah Pereka Terbaik yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu dalam menghargai usaha pereka terbabit mengangkat warisan tekstil tempatan.
“Kami turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam penganjuran kali ini yang mendapat penyertaan daripada pereka tempatan.
“Selain sari, pereka juga bakal menampilkan pelbagai rekaan menggunakan tekstil batik seperti baju dan gaun yang boleh digayakan dalam majlis khas mahupun untuk tujuan komersial dalam meraikan tradisi tempatan,” katanya.
Sementara itu, Bkay yang juga presiden PPPFM berkata, dia gembira dan bersyukur akhirnya sebuah persatuan untuk peniaga fesyen dinegara ini Berjaya ditubuhkan sekaligus memberikan amanah kepadanya untuk mengetuai pertubuhan itu.
“Saya menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan industri fesyen di negara ini terus berkembang.
“Pelbagai agenda juga sudah diatur termasuk bengkel dan sesi perbincangan bagi mengeratkan hubungan sesama pemain industri dalam bidang berkaitan serta mencari peluang menjalinkan usaha sama,” katanya.