KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2024 – Parti Putra Malaysia hari ini menyatakan ketidakpuasan hati terhadap insiden pengibaran bendera China di Menara Condong Teluk Intan, menyifatkan tindakan tersebut sebagai provokasi yang mencabar kedaulatan negara. Ini merupakan kali kedua insiden berkaitan China mencetuskan kontroversi, selepas lawatan kapal tentera China ke Pulau Pinang baru-baru ini.
Ketua Penerangan Parti Putra Malaysia, Shahrulufti Sharif, menegaskan bahawa tindakan mengibarkan bendera negara asing di tempat ikonik dalam negara adalah tidak wajar dan boleh dianggap sebagai satu penghinaan. “Pengibaran bendera asing di tanah air kita tidak boleh diterima sama sekali. Ia tidak hanya melanggar nilai kedaulatan negara tetapi juga mencabar perasaan rakyat Malaysia yang mencintai negara ini,” katanya.
Dalam kenyataannya, Shahrulufti menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur acara yang didakwa terlibat dalam insiden ini. Menurut beliau, permohonan maaf semata-mata tidak memadai, dan pihak berkuasa harus menyiasat perkara ini di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 serta Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193). Akta-akta tersebut menyatakan bahawa setiap perhimpunan awam mesti mendapatkan permit polis dan pengibaran bendera negara asing tanpa kebenaran adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Tambahnya lagi, Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 melarang keras mempamerkan lambang kebangsaan negara asing, termasuk benderanya, di tempat awam atau sekolah di Malaysia.
Shahrulufti juga mengecam kenyataan pihak penganjur yang didakwa mendakwa tidak mengetahui insiden tersebut. “Jika bendera asing dikibarkan di depan mata mereka, mengapa tidak segera diarahkan untuk diturunkan? Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau menyeru rakyat Malaysia agar menghormati kedaulatan negara serta menyeru pihak polis untuk menyiasat kes ini dengan teliti dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab. “Kedaulatan negara ini adalah tanggungjawab kita bersama. Jangan biarkan perkara sensitif seperti ini berulang,” tambahnya lagi.
Parti Putra turut menegaskan akan terus berpegang pada prinsip mempertahankan maruah negara, dengan slogan “Putra Perkasa Negara” dalam menghadapi cabaran kedaulatan.