KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2024 – Kenyataan maaf yang disampaikan oleh anak kepada mantan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak, Dato’ Mohd Nizar Dato’ Sri Najib baru-baru ini terus mencetuskan pelbagai reaksi dari kalangan pemimpin dan masyarakat.
Dalam kenyataan itu, DS Najib melahirkan permohonan maaf berhubung isu 1MDB dan SRC, suatu langkah yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai tindakan penuh tanggungjawab dan jiwa besar.
Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, menyatakan sokongan beliau terhadap permohonan maaf DS Najib. Beliau menekankan bahawa bukan semua pemimpin memiliki keberanian dan keikhlasan yang sama untuk meminta maaf di hadapan rakyat, terutama dalam isu-isu sensitif. “Salah atau tidak, itu adalah perkara kedua. Apa yang dilakukan DSN adalah satu tindakan mulia di sisi agama,” katanya.
Namun, dalam pernyataannya, Gulam turut menyuarakan kekecewaan terhadap kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang meluahkan keraguan terhadap reaksi rakyat atas permohonan maaf DS Najib. Rayer menyatakan bahawa beliau “bimbang rakyat tidak memaafkan jika kita menerima maaf Najib.”
Gulam mempersoalkan kembali, “Adakah rakyat akan memaafkan janji-janji yang ditaburkan PH dahulu seperti pendidikan percuma, tol percuma, dan penurunan harga minyak yang sehingga kini belum ditunaikan?” Menurutnya, ini adalah isu yang lebih membimbangkan kerana janji-janji tersebut mempengaruhi kehidupan rakyat secara langsung, dan PRU16 mungkin akan menjadi platform bagi rakyat untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka.
Beliau juga mengingatkan bahawa DS Najib bukan lagi Perdana Menteri atau memiliki kuasa dalam kerajaan, dan bahawa rakyat telah menghukumnya melalui kekalahan Barisan Nasional pada PRU14. Oleh itu, beliau mencadangkan agar Perdana Menteri semasa, Datuk Sri Anwar Ibrahim, yang kini sudah hampir dua tahun memegang tampuk kuasa, juga memohon maaf kepada rakyat jika janji-janji yang pernah dibuat belum dapat ditunaikan.
“Biarlah kenyataan maaf DS Najib dinilai sendiri oleh rakyat, bukan ditentukan oleh Ahli Parlimen seperti YB RSN Rayer. Lebih baik beliau menilai kembali pencapaian mereka dalam menunaikan janji-janji,” ujar Gulam.
Kenyataan ini dilihat sebagai satu lagi rentetan perbezaan pandangan antara pemimpin-pemimpin politik tanah air dalam isu kepimpinan dan tanggungjawab moral. Sementara itu, pandangan rakyat terhadap permohonan maaf DS Najib dan isu-isu yang dibangkitkan oleh Rayer dan Gulam Muszaffar dijangka terus menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.