KUALA LUMPUR – Pempengaruh mahupun sesiapa sahaja yang ingin menceburi bidang kandungan dinasihatkan agar melengkapkan diri dengan ilmu.

Ustaz Abdullah Abdol Razak berkata, bukan sahaja pempengaruh tetapi masyarakat amnya disarankan agar tidak berhenti menuntut ilmu.

“Tuntutlah ilmu dan persiapkan diri dengan pendidikan setinggi yang mampu agar kita boleh memberi input yang baik kepada orang ramai.

“Dengan ilmu, kita boleh mendidik dan menjadikan masyarakat kita golongan yang hebat,” katanya.

Beliau yang turut terkenal dengan UstazLah berkata, jumlah pengikut yang ramai di laman sosial sangat membantu dalam membina jenama dan menjana sumber pendapatan.

“Menjadi pempengaruh dengan 15,000 tontonan setiap kali bersiaran dan mempunyai pengikut hampir satu juta orang, ini adalah satu platform terbaik bagi saya menyampaikan ilmu dan dakwah.

“Peluang yang ada saya gunakan sebaiknya dalam memberi nilai-nilai positif untuk pengikut saya,” katanya.

Namun begitu, beliau sedar kerjaya sebagai ‘content creator’ bermusim dan atas sebab itu dia membina platform bisnes bagi memastikan kedudukannya terus stabil.

Dalam masa yang sama dia mengukuhkan jenama sebagai pempengaruh berilmu dengan menggenggam  Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam di Fakulti Pengajian Komtemporari Islam, UniSZA, Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.

“Saya sedar kerjaya sebagai pempengaruh ini bermusim dan atas sebab itu, saya memberi tumpuan mengasaskan beberapa syarikat untuk menghadapi waktu yang tidak menentu.

“Saya sedar keadaan ini mungkin hanya bertahan tiga hingga ke lima tahun. Ssebab itu saya menjalankan kerjasama dengan beberapa syarikat korporat untuk terus relevan.

Jadi pempengaruh wajib ada ilmu

Membetulkan stereotaip bahawa menjadi ‘content creator’ juga perlu ada ilmu, UstazLah mengakui perkara itu yang membuatkan dia sangat bersemangat untuk menamatkan PhD.

“Saya melihat hari ini rata-rata menyatakan tidak perlu belajar tinggi, cukup dengan menjadi ‘influencer’ boleh jadi kaya.

“Ramai generasi muda yang sudah tidak berminat untuk menyambung pengajian, bagi mereka duit adalah segala-galanya. View yang tinggi adalah ‘kehidupan’ mereka.

“Saya mahu memberikan kesan bahawa pendidikan adalah satu perkara yang sangat utama, ia teras kehidupan. Mak ayah juga menetapkan keutamaan dalam pendidikan sejak kecil bermula dengan tadika.

“Nabi Muhammad SAW juga mengajar bahawa dalam al-Quran, perkara pertama yang diajar ialah Iqra.

“Mungkin ada yang tidak berpeluang menyambung PhD, di mana sahaja mereka berada, mereka perlu belajar dan menuntut ilmu,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kejayaannya menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam tempoh tiga tahun setengah, UstazLah berkata, sebagai pempengaruh, dia harus memberikan impak positif terhadap pengikut.

Malah ilmu agama yang disampaikan perlulah tepat dan mengikut landasan al-Quran dan sunnah, bukannya disampaikan secara semberono.

“Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian di peringkat PhD dalam tempoh tiga tahun setengah di UniSZA dalam Fakulti Komtemporari Islam dalam bidang Pengajian Islam.

“Pempengaruh juga adalah salah satu daripada kerjaya dan rezeki dari Allah SWT. Namun yang paling penting ialah ilmu dan sebab itu saya sangat menitikberatkan tentang pendidikan.

“Memang tidak dinafikan ramai yang beranggapan apabila sudah menjadi pempengaruh, tidak perlu lagi belajar tinggi.

“Ramai anak muda yang berlumba-lumba nak menjadi pempengaruh sehingga meninggalkan sistem pendidikan yang ada di negara kita.

“Bagi saya, ia tidak betul dan merugikan kerana kita memang boleh membina sesuatu, namun untuk mengekalkannya, kita perlu berilmu.

“Setiap hari kita akan bertemu dengan sesuatu yang baru dan apabila kita belajar, baru kita sedar bahawa terlalu luas sebenarnya ilmu yang perlu kita ambil tahu dan kuasai.

“Itu akan menjadikan kita lebih rendah diri dan sentiasa mahu mengubah diri sendiri menjadi lebih baik.

“Kita belajar bukan untuk bertanding siapa yang hebat sebaliknya untuk kebaikan diri sendiri. Bagaimana keadaan kita lima tahun lalu, semalam, lima tahun akan datang?.

“Semuanya berubah kerana ilmu. Ia bertanding dengan diri sendiri untuk menjadi versi yang lebih baik.

“Ada dua cara untuk kita timba ilmu iaitu menerusi pengalaman dan pendidikan. Kedua-duanya sangat penting. Apabila digabungkan kedua-duanya, ia menjadikan seseorang itu sangat berhati-hati dalam bertutur dan mengambil keputusan atau apa sahaja yang dilakukan,” katanya lagi.

Terdahulu, UstazLah baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam di Fakulti Pengajian Komtemporari Islam, UniSZA dengan keputusan lulus dengan pembetulan kecil dan dicadangkan untuk Anugerah Tesis Terbaik.

“Sebelum ini saya menamatkan pengajian sarjana muda di Jordan dan pengajian Sarjana di UKM. Saya memilih UniSZA kerana universiti yang dikenali dengan pengajian Islam yang sangat bagus.

“Pentingnya mempunyai tauliah dan taraf pendidikan yang tinggi apabila ingin menyebarkan manfaat kepada orang ramai.

“Walaupun tidak diwajibkan namun ia memberi satu nilai yang tinggi dalam diri seseorang. Apa sahaja yang keluar daripada mulut harus dijaga dan ianya bersandarkan al-Quran dan sunnah.

“Saya juga harus menjaga jenama universiti kerana memegang status Doktor Falsafah UniSZA,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam turut menyarankan pempengaruh mahupun pencipta kandungan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kerana kerjaya itu dianggap ikon masyarakat yang menjadi ikutan pada masa kini.

“Dr.Abdullah adalah seorang graduan PHD kami yang cukup bersemangat dalam menuntut ilmu.

“Beliau melanjutkan pengajian di UniSZA secara research dalam mod hibrid dimana waktu itu sedang berlaku pandemik.

“Mod pengajian pada waktu itu hanya secara talian dan hanya sesekali sahaja bertemu dengan pensyarah.

“Namun beliau berjaya membuktikan mampu menamatkan pengajian dengan baik walaupun dengan cabaran pada waktu itu, dan ini adalah satu hal yang perlu dicontohi oleh sesiapa pun tidak kira dimana-mana institusi pendidikan sekalipun,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply