Kuala Lumpur, 6 Disember 2024 – Isu berkaitan addendum titah diraja Sultan Pahang dalam rayuan pengurangan hukuman dan permohonan perintah tahanan di rumah oleh Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi topik hangat perbincangan. Terbaru, satu afidavit daripada Datuk Nizar Najib, anakanda kepada bekas Perdana Menteri tersebut, menguatkan dakwaan bahawa titah berkenaan wujud. Namun, kenyataan itu terus mencetuskan tanda tanya apabila pelbagai pihak tampil dengan pendapat yang bercanggah.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail, pernah menyokong kewujudan titah addendum tersebut melalui afidavit mereka. Namun, perkara ini dipertikaikan oleh Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat, yang menyifatkannya sebagai “hearsay” atau khabar angin. Malah, mahkamah juga dilaporkan memberikan pandangan serupa terhadap dokumen tersebut. Persoalannya, di mana kebenaran? Siapa sebenarnya yang cuba bermain teka-teki?
Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, isu ini telah mengheret pelbagai pihak, termasuk institusi diraja, ahli politik terkemuka, dan keluarga Datuk Seri Najib sendiri, ke dalam kancah polemik yang mengelirukan. “Adakah terdapat tangan ghaib yang sengaja menyembunyikan fakta sebenar demi kepentingan tertentu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah bahawa saga addendum ini bukan sahaja menafikan hak Datuk Seri Najib untuk mendapatkan keadilan, malah turut mencemarkan imej institusi diraja, individu-individu yang menyokong beliau, serta beberapa pemimpin politik yang lain. Nama seperti Datuk Seri Tengku Zafrul juga turut dikaitkan, sekali gus menambahkan kerumitan situasi.
“Rakyat sedang menunggu jawapan sebenar. Siapa yang ingkar? Siapa yang derhaka? Siapa yang menipu? Isu ini tidak boleh dibiarkan tergantung kerana ia bukan sahaja menyentuh soal peribadi Datuk Seri Najib tetapi juga kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan integriti institusi kerajaan,” katanya lagi.
Gulam Muszaffar turut mempersoalkan sejauh mana pihak tertentu menggunakan kuasa atau pengaruh mereka untuk menghalang pendedahan fakta yang benar. Beliau menekankan bahawa ketelusan perlu dijadikan asas dalam menangani isu ini agar tidak wujud salah tanggapan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Beliau mengingatkan bahawa hanya Allah SWT yang mengetahui segala kebenaran. “Siapa yang berdosa atau siapa yang benar, itu adalah hakikat yang akan terungkap pada waktunya. Kita hanya mampu berusaha mencari kebenaran dan menyerahkannya kepada Yang Maha Esa,” ujar beliau.
Polemik addendum ini jelas menunjukkan bahawa isu ini memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan keadilan ditegakkan untuk semua pihak yang terlibat, terutama Datuk Seri Najib Razak, yang kini menjadi mangsa keadaan dalam permainan teka-teki politik ini.