editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri pembuatan animasi semakin mendapat tempat dalam industri seni tempatan. Tidak hairanlah ia kini turut bersaing bersama-sama drama atau filem yang sedang popular sekarang ini.

Selain Upin Ipin, Boboiboy, Agen Ali, animasi Mechamato juga turut menjadi salah satu animasi yang semakin mendapat tempat dihati penggemar tempatan.

Tercalon sebanyak lima kategori pada anugerah Festival Filem Malaysia ke-33, Pengarah Kreatif dan pelakon suara filem Mechamato Movie, Muhammad Anas Abdul Aziz mengakui terharu dan teruja melihat perkembangan animasi Malaysia yang semakin mendapat perhatian.

Apatah lagi buat pertama kalinya filem Mechamato Movie tercalon dalam FFM ia adalah satu pencapaian yang membanggakan buat anak tempatan untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Ini adalah pertama kali filem Mechamato Movie tercalon dalam anugerah di Malaysia dan juga FFM.

“Kami sangat berbesar hati atas pencalonan yang diberikan apatah lagi sebelum ini animasi hanya dilihat untuk tontonan kanak-kanak tetapi kini ia lebih dihargai.

“Hasil kerja untuk animasi dihargai sama seperti filem lain dalam bentuk karya dan saya mengharapkan yang terbaik untuk filem ini,” katanya pada Sesi Apresiasi Filem sempena FFM33.

Berkongsi harapan terhadap filem ini, Muhammad Anas berkata, besar harapannya jika filem Mechamato Movie terpilih sebagai pemenang pada malam berprestij itu nanti.

“Pastinya setiap yang tercalon mengharapkan kemenangan namun terpulang kepada juri untuk memilih.

“Bagi saya tercalon dalam kategori yang dipertandingkan sudah kira kemenangan buat kami semua,” katanya.

Untuk FFM ke-33, filem Mechamato Movie tercalon bagi lima kategori iaitu Filem terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Kesan Khas Terbaik dan Poster Terbaik.

Malam anugerah FFM ke-33 bakal berlangsung Sabtu ini di Kota Media Angkasapuri, Kuala Lumpur.

By Cynthia

Leave a Reply