KUALA LUMPUR, 6 Desember 2024 – Veteran UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan untuk memberikan penjelasan berhubung isu addendum titah Sultan Pahang yang disifatkan sebagai penting demi kedaulatan undang-undang dan kelangsungan prinsip Rukun Negara.

Dalam kenyataan medianya, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Hj Mustapha Yaakub, menegaskan bahawa addendum tersebut benar-benar wujud dan telah disahkan oleh pihak istana.

Menurut Datuk Hj Mustapha, pendedahan mengenai addendum ini diperjelaskan menerusi satu pertemuan antara Dato’ Nizar Najib, Exco Kerajaan Negeri Pahang yang juga anak kepada Dato’ Sri Najib Razak, dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Pahang. Perkenan Tuanku Sultan telah mengukuhkan kedudukan addendum tersebut, sekaligus menafikan tuduhan sebelum ini yang menyatakan ia hanyalah khabar angin atau sekadar dakwaan tidak berasas.

“Addendum itu bukan lagi ‘hearsay’ seperti yang didakwa. Ia telah diperjelaskan melalui affidavit oleh Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Dr Wan Rosdy Wan Ismail. Kesahihannya disahkan oleh Tuanku Sultan sendiri, dan adalah mustahil untuk mengatakan bahawa baginda berbohong,” tegas Datuk Hj Mustapha.

Dalam kenyataan yang sama, Veteran UMNO turut mempersoalkan mengapa addendum tersebut disembunyikan dan siapa pihak bertanggungjawab yang melakukannya. Addendum ini, katanya, adalah titah daripada seorang Agong yang wajib ditaati serta dilaksanakan oleh kerajaan. Sebarang bentuk pengabaian terhadap titah ini dianggap bertentangan dengan prinsip ketaatan kepada Raja dan Negara seperti yang terkandung dalam Rukun Negara.

“Kami mendesak kerajaan untuk berterus terang demi menjaga kepercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan dan kedaulatan undang-undang. Pengkhianatan terhadap prinsip Rukun Negara hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” tambahnya.

Veteran UMNO juga menyatakan kebimbangan bahawa jika isu ini dibiarkan tanpa penyelesaian, ia akan terus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Rakyat, menurut beliau, berhak mengetahui kebenaran dan berharap titah tersebut dilaksanakan jika ia benar.

Dalam menyentuh dakwaan bahawa beberapa pihak cuba menafikan kewujudan adendum, Veteran UMNO sekali lagi menegaskan bahawa Zahid Hamidi, Wan Rosdy, dan Sultan Pahang bercakap benar. “Veteran UMNO yakin bahawa adendum itu wujud dan kami tidak akan berdiam diri sehingga kebenaran didedahkan,” katanya.

Veteran UMNO melihat isu ini bukan sekadar persoalan politik tetapi satu cabaran kepada sistem pentadbiran negara untuk membuktikan integriti dan ketaatan kepada institusi Raja-Raja Melayu. Ia juga menyeru semua pihak, termasuk rakyat, untuk terus memastikan isu ini ditangani dengan penuh ketelusan.

Veteran UMNO mengingatkan bahawa kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan mesti dijunjung tinggi demi memastikan kestabilan negara dan keharmonian rakyat.

Leave a Reply