KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dari Indonesia sekali lagi mendominasi anugerah utama All Asia Influencers Award (ASIA) 2024 apabila ia dimenangi oleh Saal Haerid yang berasal dari Samarinda, Kalimantan Timur.
Saal Haerid atau nama sebenar Said Uday Al Haerid membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$10,000, trofi eksklusif, dan pakej percutian mewah ke Dubai.
Tempat kedua pula dirangkul oleh Abyan Calief dari Indonesia yang membawa pula trofi, wang tunai AS5,000 dan percutian ke Dubai manakala pempengaruh Malaysia, Imranul Effendi membawa pulang trofi, wang tunai AS3,000 dan percutian ke Dubai.
Kemenangan besar itu diumumkan pada malam gala ASIA 2024 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Hotel Flamingo, malam Sabtu lalu.
Berkongsi mengenai perasaannya, Saal, 21, berkata, dia sangat terkejut sekaligus gembira apabila dinobatkan sebagai juara.
“Saya masih terkejut dan tidak menyangka kemenangan berpihak kepada saya kali ini. Jika tahun lalu saya tercalon tetapi belum rezeki lagi untuk menang.
“Tidak dinafikan apabila tercalon sekali lagi untuk ASIA 2024 ini, saya berusaha menghasilkan konten yang lebih menarik dan mengikut trend.
“Tidak menyangka rezeki kali ini berpihak pada saya dan berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagi konten yang menarik pada masa akan datang,” katanya yang mula terbabit dalam media sosial sejak tahun 2019.
Selain anugerah utama, Saal turut meraih anugerah untuk Kategori Ciptaan Kandungan Terbaik yang melayakkannya membawa pulang trofi dan wang tunai AS$1,000.
Manakala bagi kategori Suntingan Terbaik dimenangi oleh Herony dari Filipina. Karya Ulasan Makanan Terbaik pula menjadi milik pempengaruh Indonesia, Abyan Calief, yang mendapat pengiktirafan atas kreativiti dan keunikan kandungannya.
Kategori Penyampai Cerita Terbaik menyaksikan kemenangan Berliana dari Indonesia, manakala anugerah Pilihan Orang Ramai yang menjadi antara kategori paling dinantikan jatuh kepada Ananda Natasha, juga dari Malaysia, hasil undian peminat dan pengikut.
Acara terbabit dihoskan oleh personaliti popular, Dina Nadzir dan Asyraf Nasir, yang berjaya menceriakan suasana dengan celoteh dan pengacaraan mantap mereka.
Sementara itu, Pengerusi ASIA 2024, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, ASIA 2024 juga mencatat sejarah tersendiri apabila meraih 254 juta tontonan kandungan di media sosial menggunakan tanda pagar #AllStarInfluencerAward2024 sepanjang program berlangsung.
Abd Rahman berkata, ASIA 2024 bertujuan mempromosikan tiga elemen utama pelancongan tempatan iaitu kebudayaan, lokasi menarik dan bersejarah, serta makanan melalui platform media sosial, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan negara.
“ASIA 2024 menampilkan konsep unik dengan mengetengahkan tema Visit Malaysia 2026, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, World Tourism Day Melaka dan Visit Melaka 2024,” katanya ketika ditemui selepas anugerah berkenaan.
Acara gilang gemilang itu dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Yasmin Mahmood, dan diserikan dengan kehadiran lebih 60 pempengaruh media sosial dari Jepun, Taiwan, China, Vietnam, Indonesia, Thailand, Korea Selatan dan Filipina.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Dalam pada itu, Abd Rahman berkata, konsep tahun ini juga memberi fokus kepada Melaka sebagai destinasi utama, di mana peserta berpeluang mempelajari kebudayaan perkahwinan Melayu di Melaka.
“Juri yang terbabit adalah mereka yang sangat arif dalam menentukan kaedah pemilihan pemenang terbaik, dan pihak pengurusan tidak campur tangan atau bersikap pilih kasih.
“Sejak awal lagi, kami tekankan bahawa pemarkahan dilakukan secara adil,” katanya.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan memukau daripada selebriti terkenal seperti Bella Astillah, Yonnyboii dan kumpulan 53 Studio.
Acara ini adalah sebahagian daripada program empat hari yang dianjurkan oleh Aston Creative, dengan matlamat meraikan bakat dan kreativiti dalam penghasilan kandungan digital.
Sebanyak 13 kategori anugerah disampaikan yang memberi pengiktirafan kepada individu dan kumpulan yang telah memberi impak besar dalam dunia media sosial di peringkat Asia.