KAJANG, 17 Disember 2024 – Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, merasmikan Majlis Peluncuran Acara Larian Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge (CNR 2025) di Dewan Tan Sri M. Yusuff, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini. Larian unik ini dijadualkan berlangsung pada 16 Ogos 2025 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang, bermula jam 8 malam hingga 1 pagi.

Acara CNR 2025 mensasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta dari pelbagai kategori dan menawarkan pengalaman larian yang berbeza dengan gabungan aktiviti riadah santai (fun run), persembahan kebudayaan serta acara berkonsepkan kepelbagaian budaya masyarakat majmuk di Malaysia. Penganjuran kali keempat ini dijangka menarik perhatian bukan sahaja peminat sukan tetapi juga pelancong tempatan dan antarabangsa.

Program tahunan ini dianjurkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Koperasi LLM Berhad dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ANGKASA, Persatuan Olahraga Amatur Negeri Pulau Pinang (PAAA), Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) dan Howei. Beberapa agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan persatuan sukan turut menyokong acara ini.

Selain hadiah untuk pemenang larian, peserta juga berpeluang memenangi hadiah menarik seperti “Best Dressed” dan cabutan bertuah. Pendaftaran kini dibuka melalui laman Howei.com menggunakan kod promosi KLLMBVIP dengan tarikh tutup penyertaan pada 30 Jun 2025. Peserta yang mendaftar akan menerima goodies pack, baju-T, medal, dan sijil elektronik.

Dalam majlis peluncuran ini, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi turut menyampaikan Sumbangan Bantuan Persekolahan 2025 kepada anak-anak anggota KLLMB sebagai sebahagian daripada program kebajikan tahunan koperasi tersebut. Sumbangan ini melambangkan keprihatinan penganjur terhadap kebajikan komuniti setempat.

Acara larian CNR 2025 turut dijadikan platform untuk mengumpul dana bagi membantu pihak yang memerlukan, termasuk anak-anak sekolah. Menteri turut menyatakan cadangan untuk menamakan semula acara ini sebagai ASEAN Cultural Night Run, seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Dalam persiapan menuju acara berprestij ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) memastikan kesiapsiagaan infrastruktur, termasuk penyelenggaraan laluan protokol dan jalan raya, demi kelancaran acara ASEAN yang bakal berlangsung tahun hadapan. Pembaikan lampu dan kerja pemeliharaan jalan raya turut dijalankan secara berperingkat.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, orang ramai boleh menghubungi Nor’Adilah Binti Aunudin di talian 013-2570098 atau Muhammad Zainol Rahimi Bin Abd Rahim di talian 018-9044522, atau melalui e-mel sekretariatkllmb@llm.gov.my.

Leave a Reply