KUALA LUMPUR, 19 Disember 2024 – Dalam usaha membantu mangsa bencana banjir yang melanda beberapa negeri berisiko, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melancarkan Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi. Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri KUSKOP, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, menyaksikan pelepasan 14 buah kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan sebuah lori, khusus untuk misi bantuan banjir di 14 kawasan Parlimen di Kelantan.

Sebanyak RM580,000 telah diperuntukkan oleh SKM untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara. Bantuan ini berupa kit pembersihan kediaman dan bakul makanan, bertujuan meringankan beban mangsa bencana. Daripada jumlah itu, Kelantan menerima peruntukan terbesar, iaitu sebanyak RM200,000, memandangkan ia merupakan negeri yang paling teruk terjejas dengan ribuan keluarga terkesan. Dijangka lebih 2,000 ketua isi rumah (KIR) di Kelantan akan menerima manfaat daripada bantuan ini, manakala secara keseluruhan, seramai 5,800 KIR di seluruh negara bakal dibantu.

Timbalan Menteri KUSKOP menegaskan bahawa kementerian dan SKM sentiasa komited membantu mangsa bencana alam tanpa mengira latar belakang. Bantuan bencana seperti ini tidak hanya memfokuskan kepada aspek kemanusiaan, tetapi turut melibatkan sokongan kepada koperasi yang terjejas akibat banjir. “Koperasi yang terkesan juga boleh memohon bantuan kewangan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat tertentu, termasuk menyediakan laporan polis,” tambahnya.

Kelantan menjadi perhatian utama dalam misi kali ini dengan agihan sebanyak 150,000 bakul makanan di 14 kawasan Parlimen yang terlibat. SKM turut bekerjasama erat dengan agensi lain seperti NADMA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan bantuan sampai dengan segera dan berkesan kepada semua mangsa.

Dato’ Sri Ramanan turut menyampaikan penghargaan kepada pihak yang hadir termasuk media, pemimpin tempatan, dan barisan pegawai kementerian. Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Datuk Haji Zamri bin Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, yang turun padang memantau persiapan, katanya ketika melancarkan Skuad Ihsan MADANI Prihatin di ibupejabat SKM disini hari ini.

KUSKOP dan SKM bukan sahaja memfokuskan pembangunan koperasi dan usahawan, tetapi juga memastikan kebajikan komuniti terjaga melalui bantuan segera semasa bencana. “Kami percaya, inisiatif seperti ini dapat menunjukkan keprihatinan Gerakan Koperasi terhadap masyarakat, sekaligus mendekatkan koperasi dengan rakyat,” kata Dato’ Sri Ramanan.

Melalui pelancaran Skuad Ihsan MADANI, kementerian berharap dapat memupuk kesedaran dan solidariti antara koperasi dan masyarakat, sekaligus menjadikan koperasi sebagai pemacu utama dalam membina kesejahteraan komuniti.

Leave a Reply