KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menggesa agar tindakan serta-merta dan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian kucing yang ditemui dalam keadaan mengerikan di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri, mengutuk keras kelakuan penganiayaan terhadap haiwan dan menegaskan bahawa siasatan perlu dilakukan untuk memastikan insiden terbabit, yang jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang, tidak berulang lagi.
“Siasatan yang teliti perlu dilakukan untuk menyiasat semua fakta, terutama penemuan kesan pada tubuh kucing yang seolah-olah dipotong,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, hari ini.
Dr Wan Azizah turut menggesa Universiti Malaya meningkatkan keberkesanan entiti Universiti Malaya Animal Guardians yang ditubuhkan pada Ogos lalu, dengan membabitkan kepakaran daripada persatuan pencinta haiwan dan pihak berkuasa seperti polis.
Pada sidang media yang sama, Azman yang juga Penaung Persatuan Rakan Kucing Malaysia, menyuarakan kebimbangan bahawa insiden ini mungkin membawa kepada masalah yang lebih besar di masa hadapan sekiranya ia tidak disiasat dengan teliti.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Dr Arie Dwi Andika, yang juga Penganalisis Jenayah Haiwan daripada Malaysia Animal Law and Operational Security Compliance (MALOSC), menyatakan bahawa Akta Kebajikan Haiwan 2015 boleh digunakan sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian terbabit, kerana beliau berpendapat kematian kucing itu tidak berpunca daripada serangan hidupan liar.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan menerima dua aduan berasingan berkaitan kematian kucing di beberapa lokasi dalam kampus UM.
Aduan pertama pada 17 Disember membabitkan kejadian di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi. Namun, pihak pengurusan universiti memaklumkan bahawa kejadian sebenar berlaku pada 12 Disember dan bangkai kucing tersebut telah ditanam.
Pemeriksaan ke atas bangkai yang digali menunjukkan bahawa ia sudah terurai, menyebabkan bedah siasat tidak dapat dilakukan untuk mengesahkan punca kematian.
Aduan kedua pada 20 Disember pula membabitkan kematian empat ekor kucing di lokasi berbeza dalam kampus.
Namun, siasatan tidak menemukan sebarang bukti atau karkas kucing yang dilaporkan mati. Pihak DVS juga memaklumkan bahawa bangkai kucing terbabit didakwa telah dihantar ke klinik veterinar yang tidak dapat dikenalpasti oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM).
Pasukan penyiasat gagal mendapatkan maklumat daripada wakil terbabit pada hari yang sama.
DVS menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kezaliman terhadap haiwan untuk membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa veterinar melalui laman web awa.dvs.gov.my, bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Pengurusan UM juga telah memaklumkan bahawa mereka telah membuat laporan polis berhubung kejadian kematian kucing di sekitar kampus untuk membantu pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan lanjut dan memastikan tindakan diambil sekiranya terdapat unsur penganiayaan.