KUALA LUMPUR – Program jelajah berimpak tinggi, Jelajah Sejuta Harapan anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah melabuhkan tirainya untuk tahun 2024 dengan mengadakan siri terakhirnya di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur.

Pengerusi YBK, Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom berkata, program ini bertujuan untuk mendekati dan memberi sokongan kepada golongan yang memerlukan, dengan pelbagai aktiviti dan inisiatif yang menarik disediakan untuk penduduk setempat.

“Menerusi program ini kami bekerjasama dengan Persatuan Penduduk P.A. Desa Rejang dan Usrah In Action Section 25 dari International Islamic University Malaysia (UIAM).

“Ini adalah inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan program ini turut disertai oleh beberapa outlet pendidikan yang bernaung di bawah YBK, antaranya Asrama Kasih YBK Serendah dan Gesir, Akademi Kemahiran YBK, serta Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare),” katanya.

Kira-kira lebih 100 orang penduduk dari sekitar kawasan P.A. Desa Rejang hadir membuktikan betapa pentingnya inisiatif ini bagi komuniti setempat.

Zainal Abidin berkata, matlamat dan visi Yayasan Basmi Kemiskinan adalah membantu mereka yang berada di bawah garis kemiskinan.

Pada program itu, Pengurus Besar YBK, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz turut memberikan taklimat mengenai pelbagai program yang dijalankan.

Sementara itu, Pengerusi YBCare, Datin Dr. (h.c.) Hartini Osman, turut memberikan pencerahan mengenai program ‘Mobile School’ yang bertujuan untuk meningkatkan akses pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Desa Rejang, Ismail Shaari dan Dr. Zahid Zamri, Pensyarah UIAM merangkap Koordinator Usrah In Action Section 25 UIAM, turut hadir memberikan sokongan dan berkongsi pandangan berkenaan keperluan aktiviti sebegini dalam mengangkat taraf hidup komuniti di kawasan P.A. Desa Rejang.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, tujuan utama program ini adalah untuk memperkenalkan dan memberi maklumat kepada penduduk tentang pelbagai peluang yang disediakan oleh YBK, terutamanya peluang biasiswa Asrama Kasih YBK yang berpotensi mengubah masa depan golongan belia di kawasan terbabit.

“Kami berusaha untuk mengumpulkan maklumat demografi keluarga miskin yang memerlukan sokongan untuk program-program lain seperti Sinar Kasih Ramadan serta pendaftaran untuk program Mobile School YBCare yang bertujuan menyediakan pendidikan secara bergerak kepada anak-anak yang kurang berkemampuan.

“Bagi memudahkan penduduk mendapatkan maklumat, beberapa reruai khas telah disediakan di mana penduduk boleh berinteraksi langsung dengan wakil-wakil daripada YBK dan YBCare untuk mendapatkan informasi lebih lanjut mengenai program-program yang ditawarkan.

“Sebagai tambahan kepada taklimat dan pendaftaran program, YBK juga telah memberi sumbangan berupa 50 buah bakul makanan kepada keluarga-keluarga yang terpilih daripada kalangan golongan miskin tegar,” katanya lagi.

Beliau berkata, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban mereka, terutamanya menjelang musim perayaan yang semakin hampir.

“Untuk program ini pelbagai aktiviti menarik turut kami sediakan termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, permainan interaktif, serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah kepada pengunjung.

“Salah satu tarikan utama adalah reruai ‘free market’ yang menyediakan pakaian terpakai secara percuma kepada penduduk setempat.

“Inisiatif ini bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan pakaian yang masih elok dan berguna,” katanya.

Beliau berkata, Program Jelajah Sejuta Harapan ini bukan hanya sekadar memberikan bantuan material, tetapi juga membawa mesej harapan dan sokongan moral kepada golongan yang memerlukan.

Dengan kerjasama antara YBK, UIAM, dan Persatuan Penduduk PA Desa Rejang, ia memberi gambaran jelas bahawa komuniti yang bersatu dapat mengubah nasib mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Jelajah Sejuta Harapan akan diteruskan pada tahun 2025 dengan lebih banyak lokasi dijangka terbabit.

“Sebelum ini, program ini telah diadakan di beberapa kawasan lain seperti PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

“Banyak maklum balas yang positif daripada masyarakat setempat memberi harapan bahawa program ini akan terus berkembang dan memberi impak yang lebih besar pada masa depan,” katanya.

Jelajah Sejuta Harapan YBK di P.A. Desa Rejang adalah contoh terbaik bagaimana inisiatif komuniti dapat menyatukan pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah sosial.

Ia bukan hanya tentang memberi bantuan, tetapi juga tentang memberi peluang, pendidikan, dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah.

Semoga program ini terus mendapat sokongan daripada masyarakat dan pihak-pihak yang prihatin demi kesejahteraan bersama.

By Cynthia

Leave a Reply