KUALA LUMPUR, 31 Disember 2024 – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar mendesak pihak kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mengembalikan lesen penjaja kepada peniaga di Jalan Kelang Lama yang telah ditarik balik baru-baru ini. Penjaja yang terdiri daripada pelbagai kaum ini telah berniaga lebih 30 tahun di kawasan tersebut dengan lesen sah daripada DBKL.
“Mereka hanya menjual makanan seperti nasi lemak, nasi kandar, bak kut teh, dan wantan mee untuk menyara kehidupan keluarga. Ini bukan kawasan perjudian, persundalan atau gangsterisme, tetapi tempat mencari rezeki secara halal,” tegas beliau dalam satu sidang media.
Menurut Dr. Kalaivanar yang juga Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, tindakan agresif oleh DBKL menarik balik lesen tanpa notis yang jelas telah menjejaskan pendapatan para penjaja. Akibatnya, peniaga tidak dapat membayar sewa rumah, ansuran bank, dan perbelanjaan harian lain. Beliau juga menekankan bahawa kenaikan kos sara hidup, termasuk tarif elektrik, menambahkan lagi beban kepada golongan ini.
Dr. Kalaivanar mempersoalkan penggunaan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 untuk menyasarkan penjaja tempatan sedangkan kawasan lain yang dikendalikan warga asing tidak diambil tindakan serupa. Beliau menuntut agar prinsip keadilan diterapkan tanpa sikap double standard.
Beliau juga meluahkan rasa kecewa terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha, yang didakwa tidak menunjukkan keprihatinan terhadap masalah ini. “Mereka sokong kerajaan. Mereka undi untuk perubahan, tetapi kini mereka rasa dikhianati. Rakyat tidak minta subsidi, mereka hanya mahu lesen untuk berniaga,” katanya.
Selain itu, Dr. Kalaivanar mencadangkan kawasan tersebut dijadikan Laluan Selera Madani sebagai tanda sokongan terhadap dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menegaskan bahawa sokongan rakyat perlu dihargai dengan tindakan yang adil dan menyeluruh.
Beliau turut menyeru agar DBKL dan Menteri Wilayah segera bertindak mengembalikan lesen penjaja dan memberi laluan kepada mereka untuk kembali berniaga. “Kita mahu penyelesaian hari ini juga. Mereka perlu bekerja esok untuk menyara keluarga mereka,” desaknya.
Sidang media itu diakhiri dengan janji Dr. Kalaivanar untuk membawa isu ini ke meja rundingan bersama Menteri dan pihak berkuasa bagi memastikan nasib penjaja di Jalan Kelang Lama terbela.