AMPANG, 3 Januari – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail menyeru seluruh rakyat yang cintakan keadilan untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada Dato’ Seri Najib Razak. Menurut beliau, perjuangan ini melangkaui kepentingan peribadi dan menjunjung prinsip keadilan, hak asasi, dan integriti dalam sistem undang-undang negara.
“Perjuangan ini bukan sekadar tentang seorang pemimpin. Ia adalah simbol kepada usaha menegakkan prinsip keadilan dan memastikan sistem undang-undang kita bebas daripada ketidakadilan,” tegas Syed Rosli.
Sebagai ahli parti yang setia, beliau menyatakan komitmen untuk mematuhi arahan parti, khususnya dalam menghormati kuasa prerogatif dan keputusan Yang di-Pertuan Agong. Namun, atas kapasiti peribadi, kehadiran beliau bersama penyokong lain adalah tanda solidariti moral kepada Dato’ Seri Najib. Sokongan ini, katanya, bukan satu pelanggaran, tetapi satu penghormatan terhadap sumbangan besar bekas Perdana Menteri itu kepada negara.
Syed Rosli turut menyeru penyokong untuk hadir dengan tertib, disiplin, dan mematuhi undang-undang. “Kehadiran kita menyampaikan mesej bahawa rakyat mahukan keadilan sebenar yang tidak dipengaruhi tekanan atau pengaruh pihak tertentu,” tambah beliau.
Beliau juga menekankan bahawa sokongan kepada Dato’ Seri Najib adalah usaha mempertahankan maruah keadilan negara. Ia juga bertujuan memastikan sistem kehakiman kekal telus dan bebas daripada sebarang unsur berat sebelah, katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
“Mesej kita jelas – keadilan mesti ditegakkan tanpa kompromi. Perjuangan ini bukan sahaja demi Dato’ Seri Najib, tetapi untuk memastikan masa depan negara yang lebih adil,” ujar Syed Rosli.
Beliau percaya bahawa dengan kehadiran penyokong yang bersatu padu, perjuangan ini akan terus kukuh dan membawa perubahan positif kepada sistem keadilan negara. “Ini bukan soal individu, tetapi tentang prinsip keadilan yang menjadi tunjang kepada keharmonian negara,” katanya menutup kenyataan.