UMNO Perlu Bersatu Demi Memperjuangkan Bossku

KUALA LUMPUR, 11 Januari 2025 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, mengingatkan ahli-ahli UMNO agar tidak terpengaruh dengan permainan politik pihak lawan yang cuba memecahbelahkan parti.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan menyeru agar kepercayaan penuh diberikan kepada pucuk pimpinan, khususnya Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi (DSZH), dalam usaha membebaskan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (Bossku).

“Strategi parti lawan seperti PAS dan PPBM telah berjaya menyelinap masuk ke pemikiran kita untuk bertelagah sesama sendiri. Keputusan dan dasar parti kini dijadikan peluru oleh sesetengah ahli UMNO untuk menyerang pucuk pimpinan, terutamanya Presiden. Situasi ini amat menyedihkan kerana keharmonian yang utuh sebelum ini semakin terancam,” ujar Gulam Muszaffar dalam kenyataannya hari ini.

Beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO mengenai peranan pihak tertentu, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), dalam mencetuskan krisis politik yang membawa kepada kejatuhan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). “Dendam politik yang bermula dari dalam UMNO sendiri, dengan menggunakan isu 1MDB, telah mengakibatkan kehilangan kuasa dan penganiayaan terhadap Bossku. Kini, mereka bersandiwara seolah-olah menyokong perjuangan kita, tetapi tiada tindakan konkrit dari pihak mereka untuk membantu,” tambahnya.

Gulam turut mencabar PAS dan PPBM untuk membuktikan keikhlasan mereka dengan menghantar petisyen kepada Istana Negara bagi mendapatkan pengampunan penuh buat Bossku. “Sehingga hari ini, hanya Presiden UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang telah membuat kenyataan rasmi mengenai hal ini. Di mana PAS, PPBM, atau mana-mana gabungan lain dalam perkara ini?” soalnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa perpecahan dalaman dan serangan terhadap pemimpin sendiri boleh menyebabkan usaha membebaskan Bossku menemui jalan buntu. “Kita harus berhati-hati. Jangan sampai kita kehilangan kedua-duanya – Bossku dan perpaduan parti. Jika itu berlaku, perjuangan kita akan tamat,” tegas beliau.

Gulam juga menegaskan pentingnya menjaga hubungan baik dengan pihak Istana sebagai langkah terakhir dalam mendapatkan keadilan untuk Bossku. “Kaedah ketertiban, rayuan, dan merafak sembah kepada Istana Negara adalah jambatan terakhir. Jangan sekali-kali kita membakar jambatan ini,” katanya mengakhiri kenyataan.

Beliau menyeru semua ahli UMNO agar mengetepikan perbezaan dan fokus kepada usaha bersama demi mengembalikan maruah parti dan membebaskan Bossku.

Leave a Reply