KUALA LUMPUR – Peminat filem tempatan dan penggemar permainan video mudah alih, terutamanya Mobile Legends: Bang Bang, pasti tidak sabar untuk menyaksikan filem yang bakal mengubah pandangan masyarakat terhadap industri e-sukan.
Soloz: Game of Life, yang dijadualkan akan tayang di pawagam seluruh negara pada 23 Januari 2025, menjanjikan sebuah kisah inspirasi penuh emosi dan kejayaan yang luar biasa.
Filem ini diangkat daripada kisah benar perjalanan hidup Muhammad Faris Zakaria, lebih dikenali sebagai Soloz, seorang ikon e-sukan tanah air yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk mencapai kejayaan dalam dunia Mobile Legends: Bang Bang.
Dari seorang pemuda biasa dari Seremban, Negeri Sembilan, Soloz telah menempuh pelbagai rintangan sebelum berjaya menjadi salah satu pemain profesional terkenal di Malaysia.
Apa yang menjadikan Soloz: Game of Life unik berbanding filem-filem lain adalah penggambaran mendalam tentang dunia e-sukan.
Di bawah arahan pengarah muda berbakat, Syafiq Yusof, filem ini bukan sahaja menyampaikan kisah inspirasi tetapi turut memperkenalkan elemen digital dan visual yang mengagumkan.
Dikenali dengan kemahirannya dalam mencipta naratif yang kuat, Syafiq Yusof sekali lagi membuktikan kepakarannya dalam membawa genre baharu ini ke layar perak.
Dalam filem ini, penonton akan dibawa melalui liku-liku kehidupan seorang remaja yang menukar minatnya menjadi kerjaya, mengatasi pelbagai cabaran untuk mencapai impian yang dianggap mustahil.
Menariknya, watak utama Soloz akan dibawakan oleh pelakon muda yang semakin meningkat naik, Hun Haqeem.
Pemilihan Hun Haqeem sebagai Soloz dianggap amat tepat memandangkan dia memiliki wajah yang serupa dengan Soloz, selain mempunyai pengalaman dan kecintaan terhadap permainan video.
Barisan pelakon lain yang turut memeriahkan filem ini termasuklah Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, dan ramai lagi, yang menambah lagi keistimewaan dan kekuatan naratif filem ini.
Filem ini turut memaparkan perjalanan kerjaya Soloz yang bermula sebagai salah seorang pemain Mobile Legends: Bang Bang terawal di Malaysia, dengan popularitinya melonjak seiring dengan kemajuan permainan ini.
Kejayaan terbesar beliau datang apabila mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Filipina 2019 dan meraih pingat gangsa.
Tidak hanya itu, beliau mencuri perhatian ramai apabila membeli kereta Ford Mustang pada Februari 2020, hasil pendapatan dari dunia e-sukan.
Kisahnya semakin dikenali apabila beliau menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-74 pada Januari 2022.
Pada Julai 2024, Soloz melangkah lebih jauh dengan membeli slot pasukan King Empire di MPL MY dan menamakannya semula sebagai Team Vamos, setelah pasukan asal dibubarkan. Usaha ini semakin memacu perhatian peminat e-sukan tanah air.
Salah satu aspek yang paling menarik adalah bagaimana kejayaan Soloz mengubah persepsi negatif terhadap permainan video, yang selama ini dianggap hanya membuang masa.
Kini, semakin ramai ibu bapa yang menyokong minat anak-anak mereka dalam permainan video, menyedari potensi industri ini untuk menghasilkan pendapatan lumayan.
Filem Soloz: Game of Life diharap dapat membuka mata masyarakat terhadap potensi besar dalam e-sukan, serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar cita-cita mereka, tidak kira seberapa besar cabaran yang harus ditempuhi.
Bagi memastikan keaslian cerita dan konsep permainan Mobile Legends: Bang Bang, pengarah Syafiq Yusof bekerjasama rapat dengan Moonton, pencipta permainan berkenaan.
Selain itu, filem ini juga memperkenalkan elemen kesan khas melalui teknologi imej janaan komputer (CGI) dengan bantuan Frame Motion Studio, memberikan pengalaman visual yang lebih mendalam dan menyeronokkan.
Sebagai tambahan, filem ini juga diserikan dengan dua runut bunyi yang terbit daripada Key Billions dan Sony Music Malaysia.
Lagu “Untuk Semua Jiwa” yang dinyanyikan oleh Hun Haqeem dan Noki menggambarkan semangat juang dan persahabatan, sementara “To The Finish Line” oleh Vanessa Reynauld dan Rebel Asia memacu penonton untuk terus mengejar impian tanpa henti.
Kedua-dua lagu ini kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube Music.