KUALA LUMPUR, 14 Januari 2025 – Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) Januari 2025 membuka tirai baharu dengan pendedahan pencapaian gemilang tahun 2024 dan amanat penting Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi. Fokus utama untuk 2025 ialah pembangunan infrastruktur yang mampan, berkualiti, dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Sepanjang 2024, KKR berjaya menyelenggara jalan sepanjang 14,886 kilometer dengan kos RM434.1 juta. Sebanyak RM1.162 bilion telah dibelanjakan untuk penyenggaraan pavemen, manakala RM147.6 juta untuk perabot jalan dan papan tanda. Di Sabah dan Sarawak, RM319.51 juta diperuntukkan untuk penyenggaraan pavemen sepanjang 257.03 kilometer, selain usaha membaik pulih 51,141 lubang jalan dalam tempoh 24 jam.
Antara pencapaian lain termasuk merawat 86 kawasan kerap kemalangan dengan kos RM31.43 juta. Rawatan seperti pemasangan tanda amaran, lampu jalan, dan lampu isyarat berjaya meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya. Projek utama seperti pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) juga menunjukkan kemajuan memberangsangkan, dengan LPB Sarawak hampir siap sepenuhnya (99.5%).
Dalam usaha menambah baik sistem lebuhraya, dua seksyen baharu Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) telah dibuka pada 2024. Selain itu, sistem kutipan tol pembayaran terbuka di 19 lebuhraya, kemudahan pengecas pantas kenderaan elektrik di 114 lokasi, dan pembukaan R&R Seremban dengan pengiktirafan Green Building Index (GBI) turut menjadi kebanggaan.
Menyedari kepentingan teknologi, 258 projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadaptasi Building Information Modelling (BIM), melatih 351 pegawai pakar BIM, serta melahirkan lebih 1,000 peserta melalui program latihan. Transformasi ini selaras dengan usaha meningkatkan kecekapan dan ketepatan sektor pembinaan.
Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menekankan keperluan anjakan paradigma kerja dengan penekanan kepada profesionalisme, integriti, dan penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI). Beliau turut menyeru agar warga KKR mengamalkan pendekatan “Sense of Urgency” untuk memastikan setiap tugas dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Program MYJalan juga terus diperkasa dengan penglibatan semua pihak untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya. Sepanjang 2024, 93.42% aduan rakyat berjaya diselesaikan melalui 12 saluran termasuk aplikasi MYJalan.
Dengan pencapaian cemerlang 2024 sebagai asas kukuh, KKR kini melangkah ke tahun 2025 dengan visi jelas untuk terus memastikan pembangunan infrastruktur negara bukan sahaja memanfaatkan rakyat, malah memenuhi standard kelestarian ekonomi, sosial, dan tadbir urus (ESG).